Eunice Wong dinobat Miss Universe Malaysia 2026

Facebook
WhatsApp
AHLI perniagaan Eunice Wong membuktikan usia dan pengalaman adalah kekuatan apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 pada malam kemuncak pertandingan yang penuh gilang-gemilang di sini, malam tadi. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Eunice Wong membuktikan usia dan pengalaman bukan penghalang apabila dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 pada malam kemuncak pertandingan itu di sini, malam tadi.

Wong, 37, mengetepikan saingan 12 finalis lain untuk menyarungkan mahkota terbaharu, ‘Star of the East’, sekali gus menggalas tanggungjawab membawa cabaran negara ke peringkat antarabangsa di Puerto Rico bulan depan.

Sementara itu, ibu kepada tiga cahaya mata, Sapphire Wong yang mewakili Sarawak, muncul sebagai naib juara, manakala Amreet Kaur dari Perak dan Emanuelle Mah dari Bukit Jalil masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Pada sidang media selepas acara berkenaan, Wong menzahirkan rasa syukur atas kejayaan itu dan menganggap segala usaha serta pengorbanannya sepanjang pertandingan akhirnya membuahkan hasil.

EUNICE Wong melambaikan tangan kepada penonton selepas dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2026. Foto Bernama

Beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada golongan muda agar berani mengejar impian tanpa menjadikan latar belakang sebagai penghalang.

“Saya percaya walau di mana jua kita berada, sama ada menetap di luar negara ataupun berasal dari kawasan kecil, persekitaran itu bukannya penghalang untuk kita melangkah lebih jauh.

“Teruskan membina mimpi, berusaha dan bergerak ke depan kerana Tuhan akan sentiasa membuka jalan,” katanya kepada Bernama.

Anak jati Johor itu turut menzahirkan rasa terharu atas sokongan padu rakyat Malaysia yang memberikan sokongan moral serta mesej galakan kepadanya sepanjang pertandingan berlangsung.

EUNICE Wong bersama naib juara dan pemenang tempat ketiga serta keempat selepas malam kemuncak Miss Universe Malaysia 2026. Foto Bernama

Mengulas persiapannya untuk ke Puerto Rico, beliau mahu membawa semangat ‘Malaysia Boleh’ ke pentas dunia dan berjanji memberikan persembahan terbaik demi membanggakan Malaysia.

“Saya akan berusaha sedaya upaya untuk membawa kejayaan kembali ke tanah air,” katanya.

Pelakon aksi Sandra Lim sebelum ini melakar sejarah negara apabila menjadi wakil Malaysia pertama dalam tempoh 54 tahun yang melayakkan diri ke kelompok 30 terbaik daripada 125 peserta pada pertandingan Miss Universe 2024 di Mexico City, Mexico. – Bernama