SIBU: Pihak media bercetak dan elektronik diharap dapat membantu menyampaikan maklumat yang tepat mengenai pelepasan medan elektromagnet (EMF) daripada infrastruktur komunikasi radio di kawasan awam.
Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA), Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata, kebimbangan mengenai sinaran daripada struktur telekomunikasi telah dipertimbangkan dan kesihatan kekal menjadi keutamaan dalam pembinaan kemudahan itu.
Menurutnya, berdasarkan kajian dan pengukuran yang meluas, pelepasan EMF daripada infrastruktur komunikasi radio di kawasan awam adalah sangat rendah dan tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada penduduk sekitar.
“Adalah penting untuk bergantung kepada data yang tepat dan bukannya khabar angin yang tidak berasas daripada sumber yang tidak disahkan.
“Saya berharap media dapat membantu menyampaikan maklumat tepat mengenai EMF dan membantu mendidik orang ramai yang seterusnya dapat membantu menghapuskan kebimbangan orang ramai mengenai struktur ini,” katanya berucap pada Malam Apresiasi Media SMA Bahagian Sibu, semalam.
Terdahulu, kelmarin, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan sekumpulan 23 pemilik rumah di Bakam, Miri telah menandatangani petisyen menyeru pihak berkuasa untuk tidak mendirikan menara telekomunikasi 5G berhampiran rumah mereka.
Penduduk mendakwa mereka tidak dirujuk mengenai projek yang dimulakan awal bulan ini. Mereka bimbang tentang keselamatan menara itu kerana hanya kira-kira 10 meter dari rumahnya.
Tiong memberitahu, rangkaian 5G bukan sahaja selamat untuk kesihatan awam, malah ia juga boleh menghubungkan sejuta peranti dalam kawasan seluas satu kilometer persegi, berbanding teknologi LTE, yang hanya boleh menyambungkan 1,000 peranti di kawasan yang sama.
Katanya lagi, SMA sedang giat bekerjasama dengan Digital National Berhad (DNB) untuk mewujudkan ekosistem 5G di Sarawak yang berpotensi untuk merevolusikan kehidupan seharian, daripada kerja kepada masa lapang dan aktiviti harian.
“Dengan kelajuan sehingga 10Gbps, ia boleh meningkatkan perniagaan, pembuatan, logistik, pertanian pintar dan banyak lagi.
“Melaksanakan rangkaian 5G berkelajuan tinggi memerlukan infrastruktur telekomunikasi yang mantap dan jarak yang rapat, kini sedang dipasang oleh penyedia perkhidmatan di kawasan kediaman di bandar-bandar Sarawak,” ujar beliau.
Beliau menambah, berbeza dengan teknologi sebelumnya, 5G menawarkan kependaman minimum hanya 1 milisaat, membolehkan kawalan peranti jauh yang lebih cekap dan tepat.
Oleh Akun Giman