PISA jadi pemangkin perkasa Matematik, Sains di Sarawak

Facebook
WhatsApp
MANFAATKAN SEBAIKNYA... Dr Annnuar menyerahkan geran MRP kepada PIBG penerima pada majlis yang berlangsung di Dewan SMK Agama Sibu, petang ini.

SIBU: Kerajaan Sarawak mahu usaha memperkukuh penguasaan murid dalam Matematik dan Sains dipertingkatkan menerusi pelaksanaan program pembelajaran yang lebih berkesan, termasuk memanfaatkan pendekatan pedagogi Singapura.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menunjukkan Malaysia masih ketinggalan berbanding beberapa negara Asia Tenggara perlu dijadikan asas untuk tindakan susulan.

Menurutnya, keputusan PISA tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai angka, sebaliknya perlu mendorong semua pihak mengambil langkah konkrit bagi meningkatkan penguasaan murid dalam kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

“PISA memang menjadi topik hangat sekarang. Kita bukan sahaja perlu melihat keputusannya, tetapi lebih penting, apa yang perlu kita lakukan selepas melihat keputusan tersebut. Kita mesti melakukan sesuatu untuk Matematik dan Sains,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 12 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah rendah dan menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu, petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, kerajaan Sarawak melalui kerjasama dengan Singapore International Foundation turut melibatkan pakar dari Singapura dalam pelaksanaan bengkel berterusan bersama guru Matematik.

Katanya, usaha itu akan dipertingkatkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan memberi penekanan kepada penggunaan pedagogi Singapura bagi membantu guru mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Beliau berkata, penilaian terhadap murid Tahun Empat yang diperkenalkan tahun ini akan membantu mengenal pasti kelemahan mereka khususnya dalam Matematik dan Sains.

Sehubungan itu, katanya, 10 sekolah rendah di kawasan DUN Nangka perlu bekerjasama merangka program pembelajaran hujung minggu yang melibatkan murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.

“Saya berharap program ini dapat dirumuskan tidak lama lagi dan saya telah memberitahu PIBG supaya mengadakan bengkel bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Dr Annuar berkata, sebanyak 10 sekolah rendah dan dua sekolah menengah turut menerima peruntukan sekitar RM5,000 setiap sekolah bagi menyokong usaha meningkatkan prestasi akademik murid.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu akan ditambah kepada RM7,500 bagi setiap sekolah dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Namun, yang lebih penting bukan soal wang. Saya mahu PIBG tampil dengan program yang benar-benar dapat membantu murid,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggalakkan sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, memanfaatkan kemudahan Pusat Sains Sarawak di Kuching sebagai platform meningkatkan minat murid terhadap bidang Sains dan Matematik.

Katanya, sekolah luar bandar, terutama dari kawasan di luar Kuching, digalakkan membawa murid ke pusat berkenaan untuk mengikuti program pembelajaran selama beberapa hari bermula tahun depan.

“Saya berharap sekolah-sekolah luar bandar, khususnya di luar Kuching, mulai tahun depan dapat membawa murid mereka ke Pusat Sains Sarawak untuk tinggal selama beberapa hari.

“Kita mempunyai asrama di sana dan pameran yang disediakan adalah antara yang terbaik,” katanya.

Mengulas prestasi Malaysia dalam PISA, Dr Annuar berkata, pencapaian negara yang masih tidak setanding dengan negara Asia Tenggara seperti Vietnam dan Thailand, apatah lagi Singapura yang berada antara negara terbaik dunia, perlu diberi perhatian serius.

“Agak menyedihkan melihat kita masih tidak setanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara seperti Vietnam dan Thailand, apatah lagi Singapura yang berada antara negara terbaik di dunia.

“Singapura hanya di sebelah negara kita. Mengapa kita tidak cuba belajar daripada mereka?,” katanya lagi.

Oleh Akun Giman