DEBAK: Sarang tebuan tanah sebesar botol mineral 1.5 liter yang bersarang pada dahan pokok bunga raya di Tanah Perkuburan Kampung Supa berjaya dimusnahkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 2.40 petang berhubung kewujudan sarang tebuan berkenaan.
Menurutnya, pengadu bimbang kehadiran sarang tersebut boleh mengancam keselamatan penziarah yang datang ke tanah perkuburan berkenaan.
“Pengadu memaklumkan terdapat sarang tebuan tanah pada dahan pokok bunga raya dan meminta bantuan APM Debak untuk memusnahkannya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Pasukan APM Debak kemudiannya bergerak ke lokasi dan tiba pada 5.15 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 56 kilometer,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seramai tiga anggota APM terlibat dalam operasi berkenaan dengan menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda serta kelengkapan keselamatan termasuk baju lebah, sarung tangan, topi keselamatan dan galah.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, seorang pengadu berada di tempat kejadian dan menunjukkan kedudukan sarang tebuan kepada anggota.
“Tiga anggota kemudian membuat persiapan dengan mengenakan peralatan keselamatan sebelum menjalankan operasi memusnahkan sarang berkenaan.
“Sarang tebuan tanah yang dianggarkan sebesar botol mineral 1.5 liter itu berjaya dimusnahkan menggunakan teknik pembakaran,” katanya.
Operasi tersebut selesai pada 5.37 petang dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.
Oleh Adi Safarman




