Piala FA: Kuching City FC gah mara suku akhir, belasah Kelantan Red Warrior 5-1

Facebook
WhatsApp
PEMAIN Kuching City FC, Filemon Anyie Standly (kiri) membawa bola ke arah gol lawan pada perlawanan Kuching City FC menentang Kelantan Red Warrior FC. Foto: BERNAMA

CHERAS: Kuching City FC mara ke suku akhir Piala FA 2026/2027 selepas menewaskan Kelantan Red Warrior FC 5-1 dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu tampil dominan sejak awal permainan sebelum mengesahkan kemenangan bergaya menerusi lima jaringan, masing-masing daripada Dylan Wenzel-Halls, Safawi Rasid, Ronald Ngah Wanja dan Kaishu Yamazaki.

Wenzel-Halls membuka tirai jaringan pada minit ke-10 selepas menerima hantaran Filemon Anye yang terlebih dahulu memperdayakan tiga pemain pertahanan Kelantan Red Warrior FC.

Penyerang Kuching City FC itu kemudian mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol Anin Faisal.

Permainan bagaimanapun terhenti seketika sekitar minit ke-20 susulan masalah teknikal membabitkan lampu stadium yang menjadi malap.

Selepas permainan bersambung, Kuching City FC terus menguasai permainan dan Safawi Rasid menggandakan kelebihan pada minit ke-29.

Kuching City FC jelas menguasai 45 minit pertama dengan beberapa gerakan serangan berbahaya, manakala Kelantan Red Warrior FC sesekali melakukan serangan balas termasuk menerusi Aiman Joanny yang gagal memanfaatkan peluang satu lawan satu.

Memasuki babak kedua, Kuching City FC terus memperkemaskan tekanan dan Ronald Ngah Wanja meledak gol ketiga pada minit ke-53 hasil gerakan yang dimulakan Shitembi.

Kelantan Red Warrior FC kemudian merapatkan jurang menerusi Mazwan Che Mat pada minit ke-67 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Namun, Kuching City FC kembali melebarkan jurang apabila Ronald Ngah Wanja menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 untuk gol keduanya malam ini.

Kaishu Yamazaki kemudian melengkapkan kemenangan Kuching City FC pada minit ke-80 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru, sekali gus menjaringkan gol sulungnya sejak menyertai kelab berkenaan.

Kemenangan 5-1 itu membolehkan Kuching City FC mara ke suku akhir Piala FA 2026/2027 selepas mengatasi Kelantan Red Warrior FC dengan agregat 5-1.

Oleh Afiq Sallehi