
NASHVILLE, Tennessee: Pasukan Jepun berlatih buat kali pertama di kem Piala Dunia mereka di Nashville, Tennessee, selepas tiba pada Isnin dari kem prakejohanan di Mexico, lapor Kyodo News.
Selepas menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Monterrey dari 2 Jun, skuad 26 pemain di bawah kendalian Hajime Moriyasu itu merentasi sempadan dan mengadakan sesi ringan di Geodis Park di hadapan kira-kira 5,000 peminat pasukan “Samurai Biru” di rumah kelab MLS Nashville itu.

“Terima kasih atas sambutan hangat di sini di Nashville hari ini. Kami sangat gembira untuk memulakan perjalanan Piala Dunia kami di bandar yang menakjubkan ini,” kata kapten Jepun Wataru Endo pada majlis sambutan.
Membuat penampilan Piala Dunia kelapan berturut-turut mereka, Samurai Biru menyasarkan untuk mara ke suku akhir kejohanan itu buat kali pertama dan akan beraksi dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F pada Ahad menentang Belanda di Stadium Dallas.

“Kami akan melakukan yang terbaik dengan rasa bangga dan bersemangat untuk mencapai sesuatu yang tidak pernah kami lihat sebelum ini dalam sejarah bola sepak Jepun,” kata pemain tengah Liverpool itu.
“Kami sangat teruja untuk berada di sini di Nashville dan menikmati masa bersama anda sepanjang Piala Dunia.”

Penyerang Monaco yang cedera, Takumi Minamino menyertai skuad sebagai mentor, menjadi pemain senior kedua yang aktif mengiringi mereka semasa kejohanan iaitu selepas bekas kapten Jepun Maya Yoshida, yang membantu sebagai pemain sokongan.
Antara kelebihan terbesar untuk Jepun menjelang kejohanan itu ialah Takehiro Tomiyasu, yang bersinar ketika menentang Iceland di Tokyo dalam perlawanan pelepasan mereka pada 31 Mei dan telah menyuarakan keyakinan mengenai kecergasannya susulan kecederaan baru-baru ini.

“Kami mendapat sambutan yang baik di sini dan melihat begitu ramai peminat menyokong kami, saya mahu membalas jangkaan mereka,” kata pemain pertahanan itu.
“Saya mahu bermain lebih sedikit untuk Ajax sebelum datang ke Piala Dunia, namun walaupun selepas mengambil kira perkara itu, saya rasa keadaan saya lebih baik daripada yang semua orang fikirkan.”
“(Kem di Monterrey) lebih baik jika ia lebih panas, tetapi kami menjalani latihan internsif juga dari segi taktikal dan adalah bagus jika kami semua dapat menajamkan diri kami dengan lebih baik setelah tiba di Nashville.”
Jepun akan kembali ke Monterrey menjelang perlawanan kedua menentang Tunisia di sana pada 20 Jun sebelum menentang Sweden kembali di Stadium Dallas lima hari kemudian.
Mereka akan tinggal di Nashville antara perlawanan. – Bernama-Kyodo