KUCHING: Pasukan Gerak Am (PGA) Sarawak akan mengawal tiga empangan hidroelektrik iaitu di Bakun, Murum dan Baleh yang terletak berhampiran dengan sempadan, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing.
Beliau berkata, tiga empangan ini yang boleh menghasilkan 4500MW adalah penting untuk pembangunan ekonomi Sarawak dan sebarang sabotaj ke atasnya akan merupakan satu bencana kepada negeri ini.
Kawalan di sepanjang sempadan bukan sahaja untuk mengelak orang asing dari memasuki tetapi juga untuk membanteras kegiatan penyeludupan.
Dalam pada itu, Masing turut diberi taklimat oleh Komander PGA, SAC Manca Ata berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, terdapat dua pusat kawalan sempadan di Tapak Megah, 20 kilometer (km) dari sempadan Malaysia /Indonesia dan Long Singut, kira-kira 15km dari sempadan.
“Tidak lama lagi, PGA akan menubuhkan satu unit yang mempunyai tidak kurang dari tujuh pegawai terlatih di tiga empangan tersebut masing-masing. Sarawak ingin menjaga tiga aset ini,” kata Masing.
Dalam pada itu, Pusat Pentadbiran Indonesia juga akan dipindah dari Jakarta ke Kalimantan yang melibatkan penghijrahan sekitar 1.5 juta penduduk Indonesia ke ibu pusat pentadbiran itu yang terletak berdekatan dengan kawasan Hulu Rajang menjelang 2026.
“Jadi, sempadan kita perlu dijaga,” katanya.
Oleh Connie Chieng