VALENTINE NGUMBANG
SRI AMAN: Seorang pesara guru maut disyaki tertembak senapang patah sendiri ketika pergi memburu di dalam hutan berdekatan kawasan Rumah Panjang Empadi, Batu Lintang di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Bingkok John berkata, kejadian tersebut disedari oleh penduduk kampung setelah mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah panjang pada Isnin lalu sejak dia keluar memburu di hutan berkenaan.
“Sekitar 4.00 petang pada Ahad lepas, mangsa iaitu Uke Manggi, 62, memberitahu isterinya, Lina Siban bahawa dia mahu pergi memeriksa jerat di kawasan hutan berhampiran secara seorang diri.
“Bagaimanapun, apabila mangsa langsung tidak pulang ke rumah panjang menjelang 8.00 pagi pada keesokan harinya (Isnin), si isteri segera memohon bantuan daripada penduduk kampung untuk mencari suaminya di sekitar hutan berkenaan,” kata beliau.
Seramai 20 penduduk kampung kata Bingkok melakukan operasi mencari mangsa sebelum mayat pesara guru berkenaan ditemui sekitar 3.00 petang.
Sebaik sahaja penemuan mayat mangsa dilakukan, penduduk kampung katanya segera melaporkan perkara ini dengan menghubungi pihak Balai Polis Batu Lintang, Undop pada 3.50 petang.
“Pihak polis ketika tiba di lokasi kejadian berkenaan mendapati bahawa mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang bersama dengan selaras senapang patah yang masih tertindih pada bahagian belakang badannya.
“Pemeriksaan lanjut bersama kakitangan perubatan di situ juga mendapati mangsa mengalami kecederaan luka hancur dan patah di seluruh tangan kanan dengan tempoh kematiannya dianggarkan kurang daripada 24 jam,” kata Bingkok.
Pihak polis kata beliau percaya bahawa mangsa terjatuh ketika menyandang senapang patah berkenaan hingga menyebabkan senjata api berisi peluru Buckshot 12 butir itu terhentak lalu meletup.
“Pihak perubatan percaya mangsa kehilangan banyak darah disebabkan oleh kecederaan akibat tembakan senapang patah berkenaan sehingga maut di tempat kejadian,” kata beliau.
Siasatan lanjut pihak polis kata Bingkok juga menemui satu beg galas dipercayai milik mangsa yang tergantung di bahagian tengah pokok setinggi tiga meter berhampiran lokasi kejadian itu.
“Pihak kami menemui lima biji peluru jenis Buckshot yang masih belum diguna dalam beg galas berkenaan dengan tiada sebarang kesan tembakan dijumpai di bahagian pokok berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, pihak polis tidak menjumpai senjata dan peralatan lain di lokasi kejadian tersebut dengan mayat mangsa terus dihantar ke rumah mayat Hospital Bahagian Sri Aman bagi tujuan tindakan lanjut.
“Kejadian ini diklafisikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” kata beliau sambil menambah lokasi kejadian terletak kira-kira 10 kilometer atau 45 minit waktu berjalan kaki dari jalan raya berhampiran.