KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM32 juta kepada Lembaga Pelancongan Sarawak dalam meneruskan usaha untuk memasarkan dan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, Sarawak boleh menerima sekurang-kurangnya 5 juta pelawat setiap tahun berdasarkan trend menaik pada rekod ketibaan pelawat ke negeri ini dengan jumlah terakhir ialah 4.66 Juta ketibaan pada 2019 sebelum pandemik Covid-19.
“Lembaga Pengarah dan Pengurusan dan Kakitangan STB akan bekerja keras untuk memastikan setiap satu sen yang diperuntukkan kepada STB akan digunakan secara maksimum untuk mendapatkan pulangan yang positif.
“Sebagai Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan negeri,”katanya dalam perbahasan Belanjawan Negeri 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dalam hal lain, tambah Dennis, sebuah dewan serbaguna perlu dibina di Long Lama sebagai penempatan sementara untuk mangsa banjir dan bencana alam.
“Saya memohon Kerajaan Sarawak untuk membina dewan serbaguna tersebut kerana mangsa banjir ketika ini ditempatkan di balkoni surau Long Lama.
“Dewan Masyarakat Long Lama masih diguna sementara oleh Klinik Long Lama sebagai pusat operasi susulan kerosakkan klinik disebabkan tanah runtuh pada 2019 yang belum dibaiki,” jelasnya.
Oleh AZREEN KERIA