
BEKENU: Peruntukan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM5 juta setahun bukan datang dalam bentuk tunai.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, RTP adalah peruntukan yang disediakan untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menamakan projek rakyat di kawasan yang memerlukan melibatkan agensi kerajaan.
Katanya, antara projek yang sedang dijalankan di Daerah Subis ialah Pusat Menara Tinjau (Mini Galeri Pantai Tusan) yang bernilai RM6.6 juta akan dilaksanakan dan dapat diuruskan peringkat tendernya pada tahun ini.
“Projek seterusnya ialah Komplek Sukan Subis dengan nilai kos RM19 juta, Projek Waterfront Batu Niah dengan nilai RM12 juta masih dalam peringkat proses penyediaan dokumen tender dan Projek Dewan Umum Tiris.
“Kita sebenarnya banyak projek yang masih dalam penyediaan pendokumentasian.
“Selain daripada itu kita ada Projek Anjung Selera di pekan Bekenu,” katanya pada sidang media selepas Sesi Taklimat Khas Projek Rakyat N.71 Bekenu di Majlis Daerah Subis (MDS) di sini, hari ini.
Beliau yang juga ADUN Bekenu menambah, turut dibincangkan ialah pembekalan perabot untuk perpustakaan yang telah siap.
“Kita di Daerah Subis ini mempunyai dua perpustakaan iaitu di Bekenu dan Sepupok Niah.
“Bagi di Bekenu kita telah terima peruntukan daripada kelulusan Premier Sarawak melebihi RM650,000 untuk pengisian perpustakaan tersebut.
“Manakala bagi Sepupok Niah yang diusahakan dalam penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini untuk pengisiannya dan bangunan ini telah siap.
“Selain itu, Projek Dewan Masyarakat Subis juga dalam proses dengan nilai kos sebanyak RM9 juta,” ujarnya lagi.
Katanya, projek lain yang akan dilaksanakan oleh MDS ialah pembinaan jambatan Sungai Tiris di Kampung Kepayang dengan nilai RM1.3 juta dan Tamu Sayuran di Simpang Kampung Tiris dengan nilai RM500,000.
Turut hadir, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Setiausaha MDS Stella Jelica, pegawai agensi kerajaan, Pemanca Dr Ali Mudin dan ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu