Kylian Mbappe mengetuai misi Perancis memburu gelaran Piala Dunia ketiga ketika Les Bleus berdepan Maghribi pada aksi pembukaan suku akhir. Foto AFP
BOSTON: Perancis memulakan misi memburu gelaran Piala Dunia ketiga apabila berdepan Maghribi dalam aksi suku akhir yang membuka tirai pusingan lapan terbaik, pada 4 pagi Jumaat ini (waktu Malaysia).
Selepas sebulan aksi mendebarkan yang menepis kebimbangan awal mengenai harga tiket yang tinggi serta isu geopolitik, kejohanan Piala Dunia terbesar dan paling kompleks dalam sejarah kini hanya berbaki lapan pasukan.
Perancis, yang muncul sebagai pasukan paling menyerlah menerusi aksi menyerang memukau, bakal berdepan ujian paling sukar setakat ini apabila menentang juara Afrika, Maghribi, di Stadium Gillette, Foxborough, berhampiran Boston.
Les Bleus mara bergaya ke suku akhir dengan menjaringkan 14 gol dalam lima perlawanan, termasuk tujuh gol hasil sentuhan kapten mereka, Kylian Mbappe.
Mbappe kini antara empat penjaring utama yang memburu Kasut Emas Piala Dunia. Lionel Messi mendahului senarai dengan lapan gol, diikuti Mbappe dan Erling Haaland yang masing-masing meledak tujuh gol, manakala Harry Kane mengumpul enam jaringan.
Perlawanan itu nanti mengulangi separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar yang dimenangi Perancis 2-0 sebelum mereka tewas kepada Argentina pada aksi final.
Maghribi pula tampil meyakinkan apabila melepasi peringkat kumpulan sebelum menewaskan Belanda di pusingan 32 terbaik dan membelasah Kanada 3-0 pada pusingan 16 terbaik.

Di bawah bimbingan jurulatih Mohamed Ouahbi, Atlas Lions dijangka memberi tentangan sengit menerusi gabungan kualiti teknikal, kekuatan fizikal dan disiplin taktikal.
Pemenang perlawanan itu akan bertemu pemenang antara juara Eropah, Sepanyol dan Belgium, yang beraksi di Los Angeles pada 3 pagi Sabtu ini (waktu Malaysia).

Sepanyol mara selepas menyingkirkan Portugal kendalian Cristiano Ronaldomenerusi kemenangan tipis 1-0, manakala Belgium bangkit daripada prestasi hambar di peringkat kumpulan sebelum membelasah New Zealand 5-1, menewaskan Senegal 3-2 dan mengatasi Amerika Syarikat 4-1.
Di sebelah satu lagi carta pertandingan, juara bertahan Argentina akan bertemu Switzerland di Kansas City, pada 9 pagi Ahad ini (waktu Malaysia).
Argentina yang memburu gelaran berturut-turut pertama sejak Brazil pada 1962, nyaris tersingkir apabila dipaksa berhempas-pulas sebelum menewaskan Cape Verde 3-2 menerusi masa tambahan.
Mereka kemudian bangkit daripada ketinggalan dua gol dalam tempoh 11 minit terakhir untuk menewaskan Mesir 3-2 hasil inspirasi Messi.
“Saya tidak mahu kejohanan kami berakhir hari ini. Kami mahu terus kekal dalam saingan,” kata Messi.
Pemenang aksi Argentina-Switzerland akan bertemu sama ada Norway atau England pada separuh akhir di Atlanta minggu depan.
England mara selepas menewaskan Mexico 3-2 dalam aksi dramatik di Stadium Azteca, sekali gus menyemarakkan harapan memburu kejuaraan utama pertama sejak 1966.
Bintang tengah England, Jude Bellingham, yakin kemenangan itu meningkatkan keyakinan skuad Three Lions untuk melangkah lebih jauh.
Norway pula mempertaruhkan sentuhan Haaland yang meledak dua gol ketika menewaskan Brazil pada pusingan 16 terbaik.
“Kami perlu mengkaji corak permainan England. Mereka lawan yang sangat kuat, tetapi kami berharap dapat menghadirkan perlawanan yang seimbang,” kata jurulatih Norway, Stale Solbakken. – AFP