Pertandingan Memancing Udang meriahkan Sungai Niah 19 September

Facebook
WhatsApp

NIAH: Persatuan Pengusaha Pemuliharaan Sungai Niah, Miri (PPPSNM) bakal menganjurkan Pertandingan Memancing Udang dan Sukaneka Sungai Niah pada 19 September ini, bertempat di Tebingan Sungai Niah, Sepupuk.

Menurut ahli jawatankuasa penganjur, Maimun Ibrahim ketika dihubungi berkata, program akan bermula dari 7.00 pagi hingga 1.00 petang dan orang dipelawa untuk menyertainya.

Katanya, bertujuan program ini ialah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat selain memupuk kesedaran untuk menghargai dan menjaga kelestarian sungai.

“Pertandingan memancing udang menawarkan beberapa kategori termasuk Udang Terkumpul Paling Berat, dengan hadiah wang tunai RM1,000 bagi Johan berserta set joran, RM500 bagi Naib Johan dan RM300 bagi tempat ketiga.

“Turut disediakan tujuh hadiah saguhati bernilai RM100 setiap satu, manakala kategori terpantas dan seekor udang galah terberat pula menawarkan hadiah hamper,” katanya.

Tambahnya, selain pertandingan memancing, program turut menampilkan pelbagai acara sukaneka termasuk menganyam ketupat, mewarna kehidupan sungai bagi kanak-kanak dan warga emas, boling kelapa, dart serta acara MUA Terjun (suami menyolek isteri).

“Pihak penganjur turut menetapkan umpan cacing, kompen dan jantung ayam dibenarkan, namun penggunaan snek atau anak udang sebagai umpan adalah dilarang.

“Umpan mestilah halal, manakala udang yang bertelur tidak akan dikira dan mesti dilepaskan semula ke sungai,” jelasnya lagi.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi setiap peserta, dengan peserta diwajibkan mendaftar terlebih dahulu sebelum menyertai pertandingan.

Peserta yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pendaftaran dengan menghubungi Sudirman Arsat (019-805 8715), Nurudin Jalin (019-278 4608) atau Tuai Rumah Bulin Nyalu (016-431 5483).

Oleh Adum Liu