Bukit Assek mahu tumpang limpahan pelaburan SEZ

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN KEMPEN…Chieng Jin Ek menyampaikan bahan kempen kepada seorang peniaga ketika mengadakan kunjungan di Pasar Sentral Sibu sempena kempen PRN Sarawak ke-13, hari ini.

SIBU, 29 Nov: Pembangunan semula Bukit Assek berpotensi menarik lebih banyak pelaburan sekiranya kawasan itu dapat memanfaatkan insentif cukai yang ditawarkan menerusi Zon Ekonomi Khas Sibu (SEZ).

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, pembangunan semula kawasan itu perlu dihubungkan dengan inisiatif SEZ bagi mempercepatkan pelaksanaannya serta meningkatkan daya tarikan kepada pelabur.

Menurutnya, insentif cukai atau pengecualian cukai daripada kerajaan Persekutuan boleh menjadi antara faktor yang mendorong pelabur tempatan dan antarabangsa melabur dalam pembangunan berkenaan.

BUKIT Assek mahu tumpang limpahan pelaburan SEZ

“Jika pelabur dapat menikmati insentif cukai, termasuk pengecualian cukai bagi pembangunan tertentu, ia tentunya memberi manfaat kepada pembangunan semula Bukit Assek.

“Sebab itu penting untuk kita bekerjasama dalam memulakan dan memastikan kemajuan pembangunan semula ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan kempen di Pasar Sentral Sibu di sini, hari ini.

Chieng berkata, usaha mempromosikan potensi pembangunan semula Bukit Assek kepada pelabur antarabangsa pernah dilakukan menerusi Sarawak Mega Fair di Singapura pada 2025, dengan kerjasama kerajaan Sarawak dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Mengulas perkembangan projek itu, beliau berkata proses perancangan bermula pada 2021 dengan pelantikan perunding serta pelaksanaan kajian teknikal merangkumi penyiasatan tanah, topografi dan batimetri.

Katanya, pelan induk pembangunan semula Bukit Assek mendapat pengesahan SPA pada 28 Januari tahun ini sebelum kelulusan rasmi Jabatan Tanah dan Survei diterima pada 24 Mac lalu.

“Cadangan pembangunan Fasa Satu sudah dikemukakan kepada Pejabat Premier Sarawak serta Jabatan Kewangan untuk pertimbangan.

“Kita juga telah mengadakan dua pameran bagi memberi penerangan kepada penduduk mengenai perancangan pembangunan semula Bukit Assek,” katanya.

Sementara itu, Chieng berkata kunjungan ke Pasar Sentral Sibu turut memberi peluang kepadanya bertemu peniaga dan penduduk daripada pelbagai kaum.

Beliau menyifatkan pasar yang mempunyai lebih 1,500 gerai itu sebagai gambaran kepelbagaian masyarakat serta keharmonian kaum di Sibu, dengan peniaga daripada latar belakang berbeza menjalankan perniagaan bersama.

Mengulas persaingan empat penjuru di DUN Bukit Assek, beliau berkata laporan pencapaian sepanjang lima tahun perkhidmatannya disediakan bagi membolehkan pengundi menilai sendiri projek dan usaha yang telah dilaksanakan.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap dasar kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Oleh Tarani Lanting