Belia perlu bijak menilai maklumat sebelum membuat pilihan

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang Leong Ming berucap pada Program Santai Belia 18 hingga 28 Tahun anjuran Kelab Kembara dan Rekreasi Bintulu di Dewan Muktamar, Kampung Jabai, Bintulu, hari ini.

BINTULU, 29 Nov: Golongan belia perlu mengamalkan sikap rasional dan bertanggungjawab dalam membuat pilihan politik dengan mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber serta menilai dasar dan manifesto calon sebelum menentukan keputusan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu,Johnny Pang Leong Ming berkata, penglibatan golongan muda dalam proses demokrasi bukan sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, tetapi turut merangkumi kesedaran terhadap perkembangan semasa dan dasar kerajaan.

JOHNNY Pang Leong Ming menyantuni peserta Program Santai Belia 18 hingga 28 Tahun ketika beramah mesra bersama golongan belia pada program berkenaan di Dewan Muktamar, Kampung Jabai, Bintulu.

Menurutnya, setiap undi merupakan hak individu untuk menyatakan pandangan dan membuat pilihan sendiri tanpa dipengaruhi maklumat yang tidak sahih.

“Dalam membuat keputusan, penting untuk kita mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber, memahami dasar serta manifesto calon, menilai fakta dan membuat pilihan secara bebas, rasional dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Belia 18 hingga 28 Tahun anjuran Kelab Kembara dan Rekreasi Bintulu di Dewan Muktamar, Kampung Jabai di sini, hari ini.

Menurut Johnny Pang, penglibatan belia dalam kehidupan bermasyarakat tidak seharusnya terhenti selepas pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan dengan mengikuti perkembangan semasa, memahami dasar kerajaan dan menyuarakan pandangan.

Katanya, golongan muda juga mempunyai peranan penting dalam pembangunan masyarakat melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai peluang pembangunan yang boleh diterokai golongan belia, termasuk dalam bidang keusahawanan, latihan kemahiran, bantuan pendidikan dan pembangunan kerjaya.

“Pembangunan infrastruktur di Sarawak, termasuk jalan raya, jambatan serta penambahbaikan bekalan air dan elektrik, turut membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat.

Beliau turut menggalakkan golongan belia yang berhasrat melanjutkan pengajian supaya mengambil peluang menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang menyediakan pembiayaan yuran pengajian bagi pelajar yang memenuhi syarat kelayakan dan mengikuti program terpilih di institusi ditetapkan.

Beliau berharap program berkenaan dapat menjadi ruang kepada golongan belia untuk bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan meningkatkan kesedaran mengenai peranan mereka dalam pembangunan negeri.

Oleh Carolyne Utih