Pertandingan memancing Pesta Meradong tawar hadiah utama RM600

Facebook
WhatsApp
INFOGRAFIK pertandingan memancing sempena Pesta Meradong yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM600. Foto BBP Bintangor

BINTANGOR: Kaki pancing sekitar Meradong dan kawasan berhampiran berpeluang menguji kemahiran masing-masing menerusi pertandingan memancing sempena Pesta Meradong yang bakal berlangsung di Tebingan Sungai Rajang pada 30 Ogos ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, pertandingan anjuran BBP Bintangor itu dari 7.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Katanya, penganjuran aktiviti tersebut bukan sahaja menjadi salah satu pengisian Pesta Meradong, malah diharap dapat menarik penyertaan masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan program tersebut.

“Pertandingan ini terbuka kepada mereka yang berminat untuk menyertai dengan yuran penyertaan RM30 seorang, manakala tambahan joran dikenakan bayaran RM20.

“Hadiah wang tunai disediakan kepada lima peserta terbaik dengan juara bakal membawa pulang RM600, diikuti naib juara RM350 dan tempat ketiga RM200,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, peserta yang menduduki tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima RM150 dan RM100.

Selain hadiah utama, penganjur turut menyediakan dua hadiah khas bernilai RM100 setiap satu bagi kategori tangkapan paling pantas dan tangkapan paling banyak.

Mahmudin berkata, pertandingan itu diharap menjadi platform riadah yang menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai, selain mengeratkan hubungan antara BBP Bintangor dengan komuniti setempat.

“Pada masa sama, penganjuran aktiviti berkonsepkan komuniti ini dapat menambah kemeriahan Pesta Meradong menerusi penglibatan orang ramai dalam aktiviti yang sihat dan berfaedah.

“Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran lebih awal menerusi kaedah pembayaran yang disediakan, manakala pertanyaan berkaitan pertandingan boleh diajukan kepada urus setia seperti yang tertera pada bahan hebahan rasmi,” katanya.

Oleh Earl Anek