SARIKEI, Isnin: Penduduk Pakan membuat persediaan bagi menerima lawatan kerja rasmi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dijadualkan pada 23 Julai 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, persiapan rapi dilakukan oleh penduduk yang telah diwakili tuai rumah daerah itu sejak dari minggu lepas.
Jelasnya, kerja-kerja persiapan tersebut melibatkan aktiviti gotong-royong di kawasan yang bakal dikunjungi Ketua Menteri pada lawatan berkenaan.
“Gotong-royong diadakan di Bangunan Pejabat Daerah Pakan iaitu tempat taklimat pembangunan bakal diadakan,” katanya sambil menambah aktiviti yang turut diadakan oleh JKR bersama RELA adalah kerja mengecat dan membersih kawasan persekitaran Surau.
Aktiviti gotong-royong itu mendapat penyertaan yang sangat baik daripada tuai rumah dengan kehadiran seramai 80 tuai rumah atau wakil dan dihadiri oleh beliau sendiri, katanya lagi.
Mawan juga merakamkan berbanyak terima kasih kepada semua yang dapat meluangkan masa untuk menjayakan program tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah mempengerusikan mesyuarat bersama ketua masyarakat bagi persediaan untuk lawatan Ketua Menteri ke Pakan pada 23 Julai.
Dalam majlis yang sama, Mawan menyampaikan pelitup muka kepada Pegawai Daerah Pakan Serujie Ladin yang mewakili ketua masyarakat di kawasan Pakan.
Beliau berharap agar tuai rumah turut mengajak masyarakat atau rakyat masing-masing untuk keluar beramai-ramai menyambut kedatangan Ketua Menteri di Stadium Sukan Pakan, dan di tapak perasmian tanpa mengabaikan SOP yang ditetapkan.
Lawatan kerja rasmi yang bakal diadakan oleh Ketua Menteri itu merupakan lawatan yang pertama ke daerah Pakan.
Difahamkan, lawatan kerja rasmi itu ialah untuk merasmikan pembukaan Jalan Pakan/Ulu Kota (Fasa 2), Pakan.