KOTA SAMARAHAN: Pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di Sarawak terus meningkat dengan 2,403 siri dilaksanakan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini, berbanding 736 siri pada 2023.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peningkatan itu mencerminkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap program berkenaan yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Untuk rekod, sebanyak 736 siri PJRM diadakan pada 2023 dan 1,148 siri pada 2024. Pada 2025, jumlahnya mencecah 2,584 siri, manakala bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2026 sahaja, sebanyak 2,403 siri telah dilaksanakan di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) di pekarangan Gereja St Francis, Kota Samarahan, hari ini.
Menurutnya, bagi kawasan Parlimen Kota Samarahan, sebanyak 86 siri PJRM dilaksanakan dalam tempoh sama, termasuk 28 siri di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan.
Armizan berkata pelaksanaan PJRM dipertingkatkan dari semasa ke semasa susulan sambutan baik masyarakat serta penambahbaikan terhadap kaedah pelaksanaannya.
Katanya, mulai 2024, PJRM diinstitusikan sebagai program tetap kerajaan dengan peruntukan khusus di bawah agenda Payung RAHMAH dalam belanjawan tahunan.

“Pelaksanaan ditetapkan minimum tiga kali sebulan di 600 DUN seluruh negara, termasuk 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“Ruang penglibatan syarikat, perniagaan dan koperasi dalam subsektor peruncitan turut diperluas bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata akses kepada PJRM turut dipertingkatkan menerusi tiga kaedah pelaksanaan, iaitu di dalam premis, luar premis dan PJRM bergerak, selain penganjuran jualan bertema sempena musim perayaan serta cuti persekolahan.

Sejak 2025, katanya, Takwim PJRM turut diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai menyemak lebih awal tarikh, masa dan lokasi program di kawasan masing-masing.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan jadual PJRM menerusi laman sesawang pjrm.kpdn.gov.my.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.17 Stakan, Datuk Hamzah Brahim dan Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin.
Oleh Afiq Sallehi




