PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak kepada tidak kurang daripada satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Beliau berkata persetujuan itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkasakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah menyatakan persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menetapkan nisbah perwakilan Parlimen Sarawak dan Sabah kepada tidak kurang daripada satu pertiga seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Menurut beliau, perkembangan itu turut perlu dilihat sebagai sebahagian daripada komitmen nasional untuk memperkasakan MA63, susulan kenyataan Perdana Menteri dalam mesyuarat berkaitan pelaksanaan MA63 di Kota Kinabalu beberapa hari lalu.
Beliau berkata Sarawak mengalu-alukan jaminan Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara dirancang secara lebih seimbang dengan mengambil kira potensi Sarawak dan Sabah.
“Dan beberapa hari yang lepas pada mesyuarat MA63 di Kota Kinabalu, Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa usaha untuk memperkasakan MA63 akan dilaksanakan sebagai komitmen nasional,” katanya.
Abang Johari berkata pengiktirafan hak dan keistimewaan Sabah serta Sarawak perlu difahami sebagai sebahagian daripada agenda nasional, selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.
“Saya amat berharap komitmen seperti ini akan membawa kepada kefahaman bahawa pengiktirafan hak-hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada agenda nasional,” katanya.
Beliau berkata pendekatan yang mengambil kira kepentingan pembangunan semua wilayah secara menyeluruh akan mengukuhkan kesatuan rakyat kerana setiap wilayah akan berasa dihormati, dihargai dan diberi perhatian sewajarnya.
Pada 11 September lalu, Anwar mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen melebihi kadar semasa, dengan sebarang pertambahan kerusi perlu meningkatkan bahagian perwakilan kedua-dua negeri itu.
Beliau berkata pelaksanaannya memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan tertakluk kepada proses Suruhanjaya Pilihan Raya.
Ketika ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, iaitu 25 kerusi bagi Sabah dan 31 kerusi bagi Sarawak.
Jika jumlah kerusi kedua-dua negeri ditambah, jumlah keseluruhan Dewan Rakyat juga perlu diambil kira dalam menentukan nisbah satu pertiga berkenaan.
Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas persetujuan untuk menentukan formula perkongsian hasil antara Kerajaan Pusat dan Sarawak seperti diperuntukkan di bawah Perkara 112(D) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh Norman B



