
BINTANGOR: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian sosial merupakan tunjang kepada pembangunan masyarakat yang lebih maju dan stabil.
Katanya, dalam suasana penuh kegembiraan sempena Tahun Baharu Cina (TBC), mengadakan penghormatan kepada warga emas adalah sebahagian daripada tradisi penting dalam budaya Cina.
“Menghormati dan menyayangi warga emas adalah tanggungjawab setiap keluarga dan masyarakat.
“Ia bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap golongan warga emas, malah menjadi asas penting dalam mewujudkan keharmonian sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan pada majlis sambutan TBC di sini, semalam.
Tiong Sii turut memuji inisiatif Persatuan Klan Dah Kau Ling Sarawak yang menganjurkan majlis tersebut dan berharap agar lebih banyak program serupa dapat diteruskan bagi memperkukuh ikatan kekeluargaan serta memelihara budaya tradisional yang kaya dengan nilai murni.
Selain itu, beliau menekankan bahawa sambutan TBC bukan sekadar perayaan, tetapi juga kesempatan untuk menghargai pencapaian tahun lalu dan merancang masa depan yang lebih baik.
“Saya berharap agar kita semua dapat bekerjasama, berganding bahu dan berusaha bersama demi pembangunan Sarikei dan Meradong.
“Sejak diberi mandat oleh rakyat sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Hasrat saya hanya satu, iaitu untuk membangunkan Sarikei dan Meradong demi kesejahteraan penduduknya.
“Saya amat berharap semua dapat terus berganding tangan untuk membina Sarikei dan Meradong yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dalam kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terus memastikan kestabilan politik dan ekonomi negeri.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak terus menikmati pembangunan setempat yang pesat, peningkatan taraf hidup, serta penjagaan kebajikan rakyat dengan lebih baik,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek