Permohonan undi pos PRN Sarawak ke-13 dibuka

Facebook
WhatsApp
PERMOHONAN DIBUKA… SPR memaklumkan permohonan undi pos bagi PRN Sarawak Ke-13 boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal MySPR. Foto Fail Bernama

KUCHING, 27 Oktober: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) membuka permohonan undi pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bermula semalam.

SPR dalam kenyataan media hari ini memaklumkan permohonan itu melibatkan semua kategori pengundi yang layak, termasuk Kategori 1A, Kategori 1B dan Kategori 1C.

Kategori 1A merangkumi anggota polis, anggota tentera, petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR serta petugas media.

Kategori 1B pula melibatkan warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, manakala Kategori 1C meliputi agensi atau organisasi yang layak memohon undi pos.

Menurut SPR, semua permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian menerusi portal MySPR di https://myspr.spr.gov.my.

Pemilih yang layak dan berhasrat mengundi secara pos perlu mendaftar atau mempunyai akaun MySPR terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan.

Sementara itu, tarikh tutup permohonan bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan kepada SPR menerusi talian 03-8892 7080 atau e-mel upup@spr.gov.my.