Perkukuh semangat kejiranan menerusi rondaan sukarela 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Semangat kejiranan yang kukuh dan kerjasama erat antara penduduk terus menjadi tunjang dalam mewujudkan persekitaran yang selamat menerusi Program Rondaan Bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti rondaan sukarela memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

“Program ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah memupuk budaya saling bertanggungjawab dalam menjaga keamanan kawasan kejiranan.

 ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing bergambar bersama KRT Sungai Senapak Skim B. Foto Pusat Khidmat Meradong

“Kerjasama erat antara masyarakat, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan SRS amat penting dalam membentuk persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan sejahtera demi manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di program tersebut yang merupakan anjuran KRT Sungai Senapak Skim B, semalam.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha berterusan KRT Sungai Senapak Skim B, beliau mengumumkan geran khas berjumlah RM2,000 bagi membantu menjayakan aktiviti tahunan rondaan SRS di kawasan tersebut.

Katanya, bantuan itu diharap dapat melancarkan pelaksanaan program rondaan di samping menjadi suntikan semangat kepada anggota SRS yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan komuniti secara sukarela.

“Tahniah kepada pihak KRT dan anggota SRS Sungai Senapak Skim B atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam memastikan aspek keselamatan komuniti sentiasa diberi perhatian.

“Kejayaan mewujudkan kawasan kejiranan yang aman dan kondusif memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk penduduk, pemimpin masyarakat dan agensi berkaitan,” katanya.

Koung Hiing berharap semangat kesukarelawanan yang dipamerkan anggota SRS dapat terus diperkasakan agar usaha memelihara keamanan dan keharmonian komuniti dapat dikekalkan demi kesejahteraan penduduk di kawasan Meradong.

Oleh Earl Anek