Perjuangan MA63 diteruskan tanpa mengira siapa Kerajaan Persekutuan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ditemui media selepas Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Ke Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, hari ini.

PETRA JAYA: Perjuangan Sarawak untuk mempertahankan dan mendapatkan semula haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus dipertahankan tanpa mengira siapa yang menerajui Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perjuangan berkenaan merupakan antara agenda utama kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, perubahan kepimpinan di Putrajaya tidak akan menjejaskan komitmen Sarawak untuk memastikan hak rakyat negeri ini di bawah MA63 terus dipelihara dan diperjuangkan.

“Sebenarnya perjuangan MA63 ini akan berterusan. Selagi kita di bawah kerajaan GPS, memang salah satu daripada agenda kita adalah memperjuangkan hak-hak Sarawak.

“Jadi, tidak kira sama ada kerajaan di Persekutuan siapa dan bagaimana rupanya, perjuangan kita untuk mempertahankan hak-hak Sarawak di bawah MA63 yang terhakis akan kita teruskan, for as long as it takes,” katanya ketika ditemui media selepas Seminar Wanita ‘Keluarga Idaman Wanita: Bahagia Hingga Ke Syurga’ di Auditorium Wisma Sabati, hari ini.

Sharifah Hasidah berkata, pendirian kerajaan Sarawak kekal sama, iaitu memastikan hak yang termaktub dalam MA63 terus diperjuangkan dan tidak terhakis.

Katanya, siapa sahaja yang membentuk Kerajaan Persekutuan tidak menjadi persoalan kerana keutamaan Sarawak adalah memastikan hak negeri terus dipertahankan.

“Tidak kira sama ada siapa sahaja yang berada dalam Kerajaan Persekutuan,ia tidak begitu penting. Apa yang penting ialah kita akan terus memperjuangkan hak kita di bawah MA63 kerana ini merupakan tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk memastikan hak orang Sarawak terpelihara dan kita mengutamakan Sarawak selalu.

“Sarawak First,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, isu pelaksanaan MA63 terus menjadi antara agenda utama Sarawak, khususnya dalam memastikan tuntutan yang masih belum dimuktamadkan dapat diselesaikan secara berperingkat.

Katanya, kerajaan Sarawak akan terus menggunakan pendekatan rundingan dan kerjasama dalam memperjuangkan perkara berkaitan MA63 dengan Kerajaan Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian tuntutan MA63 telah diselesaikan, manakala beberapa perkara lain masih dalam rundingan antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

Antara perkara yang masih menjadi perhatian termasuk pemberian khas kewangan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, isu minyak dan gas, autonomi pendidikan, kuasa berkaitan alam sekitar serta beberapa bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Kerajaan Sarawak sebelum ini turut menegaskan bahawa usaha mendapatkan semula hak yang terhakis di bawah MA63 akan terus menjadi keutamaan dalam memastikan kepentingan negeri dan rakyatnya terpelihara.

Oleh Shikin Mahmud