
SIBU: Dua Ahli Parlimen di sini digesa mempercepatkan usaha membawa pembinaan tempat letak kereta bertingkat di Hospital Sibu bagi mengatasi masalah kekurangan parkir yang berlarutan sejak sekian lama.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata, kekurangan kemudahan itu bukan sahaja menjejaskan pesakit dan penjaga, malah turut memberi tekanan kepada kakitangan hospital termasuk doktor dan jururawat.
“Masalah mencari tempat letak kereta di Hospital Sibu bukan perkara baharu. Ia menjadi semakin serius saban tahun seiring peningkatan jumlah pesakit,” katanya pada sesi kaunter perkhidmatan bergerak SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya di sebuah premis makanan di sini, hari ini.
Turut hadir, Penasihat SUPP Cawangan Dudong, Datuk Dr Soon Choon Teck dan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Jaya, Kong Sing Ping.
Menurut Wong, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau yang masing-masing telah berkhidmat lebih sedekad perlu lebih proaktif dalam mendesak kerajaan persekutuan meluluskan pembinaan kemudahan parkir bertingkat di hospital berkenaan.
Beliau berkata, setiap hari hospital itu menerima kehadiran kira-kira 1,000 pesakit manakala jumlah kakitangan yang bertugas juga sekitar 1,000 orang, sedangkan hanya terdapat 1,335 petak letak kereta di kawasan hospital.
“Keadaan ini menyebabkan ramai terpaksa meletakkan kenderaan secara haram, seterusnya dikenakan saman. Ada juga yang terpaksa meletak jauh dan berjalan kaki dalam panas terik atau hujan, sesuatu yang sangat membebankan terutama bagi warga emas dan mereka yang membawa anak kecil,” katanya.
Tambah beliau, masalah kekurangan tempat letak kereta juga menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di sekitar hospital dan menjejaskan laluan ambulans serta perkhidmatan kecemasan lain.
Mengulas lanjut, Wong berkata, pihak pengurusan hospital melalui Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu telah memohon kepada kerajaan persekutuan agar kemudahan tersebut dibina, sepertimana di Hospital Umum Sarawak.
“Namun rakyat tertanya mengapa kedua-dua Ahli Parlimen ini tidak mendesak dengan lebih tegas agar permohonan itu diluluskan,” katanya.
Wong turut mempersoalkan sama ada cadangan rasmi pernah dikemukakan oleh kedua-dua wakil rakyat daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu, khususnya Alice Lau yang kini memegang jawatan lebih tinggi dalam kerajaan.
Beliau berkata, alasan bahawa mereka adalah pembangkang tidak lagi relevan kerana sejak 2018, mereka merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan mempunyai akses terhadap sumber serta saluran bagi melaksanakan projek infrastruktur.
“Pembinaan tempat letak kereta bertingkat mesti dimulakan dalam penggal ini bagi mengelakkan persepsi rakyat bahawa mereka mengabaikan isu ini.
“Penduduk Sibu memberi mandat bukan untuk menikmati keistimewaan jawatan, tetapi membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Oleh Tarani Lanting