Perancangan baharu bakal mengubah Sibu menjadi bandar satelit moden

Facebook
WhatsApp
KETIBAAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika tiba di Masjid Al-Hidayah, Kemuyang.

SIBU tidak boleh terus berkembang dengan hanya memperluaskan kawasan bandar sedia ada. Sebaliknya, bandar ini perlu berani meneroka pendekatan pembangunan baharu dengan mewujudkan pusat pertumbuhan di kawasan pinggir bandar.

Dalam perancangan itu, Kemunyang kini muncul sebagai prospek bandar satelit baharu yang bakal mengubah landskap pembangunan Sibu, sekali gus membuka peluang kepada pembentukan sebuah penempatan moden yang lebih tersusun dan bersepadu.

Perancangan tersebut bukan sekadar membangunkan kawasan perumahan baharu, tetapi membentuk sebuah komuniti lengkap yang disokong jaringan infrastruktur, kemudahan awam, institusi keagamaan dan hubungan pengangkutan yang lebih baik.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan membangunkan bandar satelit merupakan antara strategi penting bagi memastikan pertumbuhan Sibu tidak tertumpu hanya di pusat bandar.

Menurutnya, model pembangunan itu telahpun diperlihatkan menerusi Sibu Jaya yang kini berkembang menjadi sebuah kawasan penempatan besar di pinggir bandar.

“Kita tidak lagi boleh membesarkan Sibu dengan cara lama. Kita mesti membangunkan Sibu dengan struktur baharu yang memberikan kemudahan kepada masyarakat.

PERASMIAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
menyempurnakan majlis perasmian Masjid Al-Hidayah, Kemuyang.

“Antara perancangannya ialah mewujudkan bandar satelit di pinggir bandar besar. Satu yang telah kita bangunkan ialah Sibu Jaya dan kini kita merancang satu lagi bandar satelit di Kemunyang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Al-Hidayah di Kemunyang, di sini, baru-baru ini.

Kemuyang dihubung dengan pusat bandar

Antara komponen terpenting dalam merealisasikan aspirasi itu ialah pembangunan infrastruktur jalan raya yang bakal menjadi penghubung utama antara Kemunyang dengan pusat bandar Sibu.

Abang Johari berkata, kerajaan merancang membangunkan jalan raya berkembar (dual carriageway) menuju Kemunyang dan menghubungkannya dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Kemudahan itu dijangka meningkatkan kelancaran pergerakan penduduk, selain membuka akses lebih baik kepada kawasan penempatan dan pembangunan baharu di sekitarnya.

MASJID Al-Hidayah Kemuyang mampu menampung sehingga 3,000 jemaah.

Lebih penting, Kemunyang tidak akan berkembang secara terasing, sebaliknya menjadi sebahagian daripada rangkaian pembangunan yang menghubungkan Kampung Nangka, Kampung Nyabor dan kawasan berhampiran.

Perancangan itu sekali gus memberi gambaran bahawa pertumbuhan Sibu pada masa hadapan akan melangkaui sempadan pusat bandar, dengan kawasan pinggir memainkan peranan lebih besar sebagai pusat penempatan dan aktiviti ekonomi.

Masjid sebagai titik permulaan pembangunan

Menariknya, pembangunan Kemunyang turut membawa pendekatan yang menggabungkan kemajuan fizikal dengan pembentukan nilai kerohanian dan sosial masyarakat.

Pembinaan masjid baharu iaitu Masjid Al-Hidayah di Kemuyang dilihat sebagai antara asas penting sebelum pembangunan penempatan yang lebih luas dilaksanakan.

Masjid yang dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kos kontrak RM20.49 juta itu terletak di atas tapak seluas 6.3 ekar dan mampu menampung sehingga 3,000 jemaah.

Abang Johari mengaitkan pendekatan itu dengan sejarah penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah, apabila Masjid Quba dibangunkan sebagai antara institusi terawal dalam pembentukan masyarakat Islam.

Menurutnya, masjid bukan sekadar tempat umat Islam menunaikan solat dan melaksanakan ibadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan, kebajikan dan pembangunan komuniti.

“Di mana sahaja orang Islam berhijrah, masjid menjadi antara perkara pertama yang dibangunkan. Di Kemunyang ini, kita membina masjid terlebih dahulu dan selepas itu membangunkan kawasan perumahan di sekitarnya,” katanya.

Beliau berharap pendekatan sedemikian mendapat keredaan Allah SWT, selain membolehkan masyarakat Islam hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling membantu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada masyarakat Islam di Kemunyang kerana kini mempunyai sebuah masjid baharu yang indah dan menjadi kebanggaan penduduk setempat.

Membangunkan bandar dengan identiti komuniti

Usaha meningkatkan kemudahan keagamaan di Sibu sebenarnya sebahagian daripada pendekatan lebih luas kerajaan Sarawak dalam menyediakan prasarana yang menyokong kehidupan masyarakat.

Abang Johari berkata, usaha menaik taraf Masjid An-Nur di tengah bandar Sibu dan pembesaran masjid di Sibu Jaya mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh kemudahan umat Islam di kawasan berkenaan.

Masjid An-Nur kini menjadi antara mercu tanda Islam di pusat bandar, manakala masjid di Sibu Jaya berfungsi sebagai pusat kegiatan agama dan kebajikan masyarakat setempat.

Kehadiran masjid baharu di Kemunyang pula melengkapkan usaha menyediakan kemudahan keagamaan seiring dengan perkembangan kawasan penempatan.

Dalam masa sama, perancangan pembangunan semula Kampung Datuk turut disentuh oleh Premier sebagai antara kawasan yang berpotensi diberikan perhatian melalui pendekatan pembangunan lebih menyeluruh, termasuk aspek jaringan jalan raya yang menghubungkannya dengan Kemunyang.

Beliau turut mengiktiraf peranan wakil rakyat kawasan, Datuk Dr Annuar Rapaee, dalam membawa agenda pembangunan setempat dengan sokongan masyarakat.

Melangkah ke fasa pembangunan seterusnya

Hakikatnya, masa depan Sibu tidak hanya bergantung kepada pembangunan di pusat bandar, tetapi turut ditentukan oleh keupayaannya mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu yang mempunyai perancangan jangka panjang.

Kemunyang berpotensi menjadi antara pemangkin kepada perubahan itu apabila pembangunan perumahan, infrastruktur dan kemudahan masyarakat dirancang secara saling melengkapi.

Jika direalisasikan secara menyeluruh, bandar satelit berkenaan bukan sahaja menawarkan pilihan penempatan baharu kepada penduduk, malah berupaya mengubah corak pertumbuhan bandar Sibu ke arah lebih tersusun dan seimbang.

Daripada pembinaan sebuah masjid sebagai asas pembentukan komuniti, kepada perancangan jalan raya berkembar dan pembangunan kawasan perumahan, Kemunyang kini membawa gambaran sebuah Sibu yang sedang bersedia untuk melangkah ke fasa pembangunan baharu.

Persoalannya bukan lagi sekadar sejauh mana Sibu boleh berkembang, tetapi bagaimana pertumbuhan itu dapat dirancang supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat untuk generasi akan datang.

Oleh Akun Giman

Eksklusif: Rakyat bukan bidak percaturan

DALAM kesibukan parti-parti politik menyusun strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pelbagai percaturan mengenai kerusi, calon, penyandang dan