KUCHING, 26 November: Sokongan berterusan daripada penyokong lama mendorong Datuk Larry Sng Wei Shien kembali menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 Pelagus selepas 15 tahun tidak mewakili kawasan itu.
Larry yang mengesahkan akan bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 berkata, permintaan daripada penyokong yang masih mengingatinya menjadi antara pertimbangan utama untuk kembali ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pengumumannya menerusi hantaran Facebook hari ini yang turut menyatakan beliau tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Julau.
“Walaupun sudah 15 tahun saya tidak mewakili kawasan itu, penyokong saya masih ramai dan mereka masih mengingati saya serta meminta saya kembali bertanding di Pelagus,” katanya.
Untuk rekod, Larry pernah mewakili DUN Pelagus selama dua penggal dari 2001 hingga 2011 sebelum beralih ke arena politik Persekutuan menerusi kerusi Parlimen Julau.
Mengulas keputusannya untuk terus mempertahankan kerusi Parlimen Julau, beliau berkata, kawasan itu kekal menjadi tanggungjawabnya selepas berjaya mempertahankannya selama dua penggal.
Katanya, pengalaman berulang-alik antara Kapit dan Julau sejak lebih setahun lalu turut memberinya keyakinan untuk memikul tanggungjawab tambahan sekiranya kembali diberi mandat di Pelagus.
“Saya tidak akan melepaskan kerusi Parlimen Julau kerana itu kawasan yang sudah berjaya saya pertahankan selama dua penggal dan saya juga selesa mewakili kawasan tersebut.
“Saya merasakan mampu menambah kerja dan tanggungjawab dengan berulang-alik dari Kapit ke Julau untuk terus membantu penduduk di sana,” ujarnya.
Menyentuh agenda pembangunan di Pelagus, Larry berkata, kawasan pedalaman itu masih mempunyai banyak keperluan asas yang memerlukan perhatian.
Beliau percaya pengalaman luas dalam politik, termasuk pernah berkhidmat di peringkat negeri dan Persekutuan, dapat dimanfaatkan untuk membantu menangani keperluan penduduk setempat.
Menurutnya, peluang untuk bersuara di DUN dan Parlimen juga boleh digunakan bagi membawa isu serta kepentingan masyarakat di kawasan berkenaan.
“Tidak semestinya seseorang yang bukan daripada GPS tidak boleh membangunkan kawasan. Saya juga bukan daripada GPS, tetapi saya boleh membantu penduduk di Julau dan percaya saya juga mampu membantu serta membangunkan Pelagus,” katanya.
Untuk rekod, GPS pada 25 November mengumumkan Cerisologo Sabut sebagai calonnya bagi kerusi DUN Pelagus menerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), sekali gus menyaksikan persaingan antara calon GPS dan PBM di kawasan berkenaan.
Oleh Adele Rissa




