Pekerjaan pendapatan tinggi tarik pulang bakat muda Sarawak – Penganalisis

Facebook
WhatsApp
FELO Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir ditemu buat pemberita mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas menghadiri program Aspirasi Kenyalang terbitan Bernama TV di Kuching. Foto BERNAMA

KUCHING, 26 November: Sarawak perlu memberi keutamaan kepada pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan pendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menarik pulang bakat muda negeri itu, sekali gus memperkukuh peranan mereka dalam memacu pembangunan ekonomi, kata penganalisis politik.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir berkata usaha itu memerlukan Sarawak menarik lebih banyak pelaburan berkualiti yang mampu menyediakan peluang pekerjaan sepadan dengan kelayakan akademik dan kemahiran anak muda tempatan.

“Kita nak melihat keadaan sosial yang bertambah baik, keadaan ekonomi yang meningkat, pelaburan semakin banyak datang ke Sarawak ini dan stabil politiknya, selain hubungan yang lebih baik antara Kuching dan Putrajaya.

“Hasil Sarawak perlu terus ditingkatkan, kualiti hidup dipertingkatkan dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh semua,” katanya dalam temu bual pada Program Aspirasi Kenyalang bertajuk ‘Ke Mana Kita? Di Mana Kita?, terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Mengulas prospek pembangunan Sarawak, Jeniri berkata negeri itu berada pada landasan yang tepat menerusi penekanan terhadap ekonomi hijau, tenaga hijau dan ekonomi digital yang berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti ekonomi hiliran.

Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan transformasi ekonomi negeri bagi memastikan generasi muda Sarawak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor baharu. 

“Kemahiran menerusi pendidikan dan latihan seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkukuh, manakala anak muda dilatih supaya memiliki kemahiran yang bersesuaian dengan peluang pekerjaan dan keperluan industri pada masa hadapan.

“Jika perkara ini tidak diberikan perhatian sudah tentu sukar untuk memastikan Sarawak terus maju dan makmur serta bergerak seiring dengan aspirasi dan matlamat yang telah digariskan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Jeniri juga percaya pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030  mampu membantu mengurangkan kadar kemiskinan di Sarawak, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Dalam aspek hubungan Persekutuan-negeri pula, beliau berpandangan sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) diberikan mandat untuk meneruskan pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, tuntutan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) yang masih tertangguh atau dalam rundingan berpeluang dimuktamadkan.

Beliau berkata hubungan baik antara kerajaan Sarawak dengan kerajaan Persekutuan, khususnya kesefahaman antara Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan faktor penting dalam usaha menyelesaikan perkara berkenaan.

“Saya percaya jika terdapat hubungan yang begitu baik antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan kerajaan Persekutuan,perkara yang masih tertangguh itu akan dapat ditunaikan.

“Paling penting ialah wujudnya kesefahaman antara Premier Sarawak dengan Perdana Menteri dalam menangani isu berkenaan. Jelas terdapat keikhlasan, kesungguhan dan komitmen daripada kedua-dua pihak,  untuk menyelesaikan perkara tersebut,” ulas beliau.

Semalam, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mengumumkan kesemua 82 calon yang akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13, termasuk 11 muka baharu. 

Pengumuman itu dibuat Abang Johari yang juga Pengerusi GPS pada majlis di Ibu Pejabat PBB di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember ini.

Dapatkan berita terkini PRN Sarawak ke-13 menerusi https://election.bernama.com/prn/sarawak/2026/ – Bernama