KUCHING: Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menjangkakan penutupan jalan dan lencongan trafik secara berperingkat di beberapa laluan sekitar bandar raya ini sempena perarakan keagamaan Hari Lahir Dewa Guan Ti Kung, esok (6 Ogos).
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, perarakan tersebut dijadualkan bermula pada 6.00 petang dan dijangka berakhir pada tengah malam dengan penyertaan kira-kira 120 kontinjen.
Menurutnya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melaksanakan penutupan jalan serta lencongan trafik mengikut keadaan semasa bagi memastikan kelancaran aliran kenderaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Perarakan akan melalui Lorong Ang Cheng No. 7, Jalan Petanak, Bulatan Sri Aman, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock, Jalan Padungan, Jalan Bukit Mata, Jalan Lebuh Wayang, Jalan Wawasan, Lorong Carpenter, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Abell, Jalan Rumbia, Bulatan Petanak dan Lorong Blacksmith sebelum berakhir di Lorong Ang Cheng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata, pengguna jalan raya dari Jalan Tabuan melalui Simpang Tiga dinasihatkan menggunakan Jalan McDougall sebagai laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Lebuh Wayang dan Jalan Wawasan.
Beliau berkata, pengguna dari Jalan Haji Taha pula digalakkan membuat pusingan U di Jalan Power bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Gambir dan Jalan Tun Abang Haji Openg.
Sementara itu, pengguna yang datang dari Jalan Pending atau Jalan Padungan disaran menggunakan Jalan Sekama dan Jalan Datuk Abang Abdul Rahim sebagai laluan alternatif.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sepanjang laluan perarakan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching di talian 082-259900.
Oleh Connie Chieng





