DARO: Penunggang maut manakala pembonceng parah selepas motosikal yang mereka naik dipercayai bertembung dengan lori simen di Kilometer 30 Jalan Tian-Pergau, sekitar jam 2.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Neil Beginda berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Johnny Rabar berusia 50 tahun, pekerja salah satu ladang sawit di Kebuaw, Igan.
“Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang semalam. Hasil siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Pergau menuju ke Kampung Tian.
“Dia dipercayai hilang kawalan di selekoh tajam masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah lori muatan simen,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Daro.
“Mangsa (penunggang) disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan mayat telah dihantar ke unit forensik Hospital Daro.
“Sementara, pembonceng telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.