
MOHAMAD Duri semasa menyertai lawatan kerja dan siasatan tapak bersama rombongan KKDW Sarawak di Kampung Hilir Kupang semalam. Foto ADUN Kalaka
SARATOK: Kebajikan dan keselesaan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka terus menjadi keutamaan apabila empat lorong jalan kampung di kawasan Kampung Kupang telah dikenal pasti untuk dinaik taraf kepada jalan lorong konkrit dalam masa terdekat.
Projek infrastruktur penting ini bakal dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyatakan bahawa kesemua lorong yang terlibat telah dicadangkan sendiri oleh Ketua Kampung Hilir serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.
Pelaksanaan projek ini akan dibuat secara bergilir-gilir memandangkan kekangan bajet yang terhad.
Beliau berkata demikian semasa menyertai lawatan kerja dan siasatan tapak bersama rombongan KKDW Sarawak di Kampung Hilir Kupang, di sini semalam.
Lawatan turun padang tersebut turut disertai oleh barisan kepimpinan tempatan dan teknikal bagi memastikan perancangan berjalan lancar. Antara yang hadir termasuk Ir. Ts. Mohamad Iswandi Jinne (wakil teknikal); Penghulu Misis Aris; Kaunselor Aton Tar; Ketua Kaum Japeri Johari; barisan JKKK Kupang Hulu, Kupang Tengah, dan Kupang Hilir.
”Pihak KKDW Sarawak telah banyak membantu menaik taraf jalan-jalan di kawasan DUN Kalaka.
“Sesi lawatan tapak kali ini turut melibatkan beberapa kawasan strategik lain termasuk jalan di Roban, jalan alternatif ke Rumah Siti Belanda dan Christopher di Kali Kaba, Kampung Tengah Perpat, serta Kampung Hulu Kaba,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak KKDW di atas keprihatinan serta komitmen berterusan kementerian dalam membantu merancakkan lagi pembangunan infrastruktur, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan DUN Kalaka.
Oleh Adi Safarman




