Jalan Kupang–Simpang Bajau capai 48.53 peratus kemajuan, dijangka siap September 2027

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENYELARASAN… Mohamad Duri menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek pembinaan Jalan Kupang–Simpang Bajau di Bilik Mesyuarat Pejabat Tapak Projek, semalam. Foto ADUN Kalaka

SARATOK: Projek pembinaan Jalan Kupang–Simpang Bajau kini mencapai kemajuan keseluruhan 48.53 peratus, iaitu 7.31 peratus mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada 4 September 2027.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, perkembangan itu menunjukkan pelaksanaan projek berkenaan berjalan dengan baik.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek di Bilik Mesyuarat Pejabat Tapak Projek, di sini semalam.

Menurutnya, mesyuarat itu turut dihadiri Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, kontraktor serta wakil Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Fokus utama perbincangan adalah untuk menyelaraskan kerja pengalihan tiang talian voltan tinggi 11 kilovolt (kV) yang sebelum ini menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek di tapak.

“Beberapa kaedah penyelesaian turut dipersetujui bersama bagi mempercepatkan proses pengalihan tiang utiliti di kawasan yang terjejas,” katanya.

KEMAJUAN… Projek pembinaan Jalan Kupang–Simpang Bajau kini mencapai kemajuan keseluruhan 48.53 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September 2027. Foto ADUN Kalaka

Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan kos terkini sebanyak RM122.5 juta.

Skop projek merangkumi kerja menaik taraf jalan sedia ada kepada jalan berturap sepanjang 19.9 kilometer serta pembinaan lima jambatan baharu.

Tapak projek diserahkan secara rasmi pada 17 Januari 2025, manakala majlis pecah tanah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 22 Jun tahun lalu di Rumah Rengan Selambong.

“Apabila siap sepenuhnya kelak, infrastruktur ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk, meliputi tiga kampung di Kupang, 10 rumah panjang serta tiga sekolah di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata, projek itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan jaringan perhubungan jalan luar bandar, malah memendekkan masa perjalanan penduduk ke Pasar Saratok serta menyediakan laluan yang lebih selamat dan selesa.

Laluan berkenaan boleh diakses melalui Jalan Bajau, kira-kira lapan kilometer dari Lebuh Raya Pan Borneo dan 43 kilometer dari Bandar Betong.

Projek yang mula dilaksanakan secara fizikal pada 14 Januari 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada 4 September 2027.

Oleh Adi Safarman