PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri Sarawak mengikut gaji pokok terakhir November tahun ini.
Beliau turut mengumumkan BKK berjumlah RM700 kepada penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun ini dan bantuan akan dibayar secara ‘one-off’ atau sekali bayar.
Ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sebentar tadi, Abang Johari berkata, BKK untuk penjawat awam Sarawak akan dibayar pada Disember, manakala untuk anggota perkhidmatan awam persekutuan akan diberikan pada suku pertama tahun depan.
“Tahun ini telah menyaksikan banyak kejayaan dicapai oleh Sarawak dalam pelbagai bidang. Ini adalah hasil sumbangan semua pihak, termasuk anggota perkhidmatan awam Sarawak.
“Implikasi kewangan bagi kedua-dua insentif BKK tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM190 juta,” katanya ketika ucapan penggulungan DUN Sarawak, hari ini.
Pengumuman BKK untuk penjawat awam Sarawak ini adalah sama dengan BKK tahun lepas, manakala BKK untuk penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak naik RM100, berbanding tahun lepas iaitu RM600.
Dalam pada itu, Abang Johari juga menyatakan bahawa bahawa kerajaan Sarawak akan menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, ia akan melibatkan penambaikan dan penyelarasan gaji semua anggota perkhidmatan awam di Sarawak.
“Sebagai tambahan kepada penyelarasan gaji dalam SSPA, mulai Januari 2025, kerajaan GPS juga bersetuju untuk memperkenal dan memberi elaun khas bulanan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak berdasarkan gred Kumpulan.
“Sebanyak RM400 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga Gred 4, RM500 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 5 hingga Gred 8, RM600 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9 hingga Gred 15; dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima elaun khas sebanyak RM 700,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT