KUCHING: Sifat jujur, amanah dan integriti adalah nilai intrinsik yang menjadi tunjang dan pasak kemajuan ekonomi di negeri selama ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, nilai berkenaan nampak biasa tetapi tanpa disedari ia memainkan peranan sebagai asas kemajuan ekonomi.
Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, penjawat awam yang mengamalkan sifat seperti jujur, amanah serta berintegriti dapat mengelakkan diri mereka daripada mudah terjerumus dalam kancah pecah amanah atau menerima rasuah.
“Saya percaya, jika lurus pembawaan sektor awam maka luruslah jalan untuk mencapai hala tuju negara, sebaliknya jika bengkok pembawaannya maka berliku-likulah jalan tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, sangat penting bagi Sarawak tercinta kita memiliki kumpulan penjawat awam yang tinggi penghayatan dan pengamalan nilai integritinya untuk mencapai pembangunan negara dengan cekap dan berkesan.
“Ketua jabatan dan ketua-ketua bahagian juga perlu bersikap tegas dan tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pekerja atau mana-mana pihak lain yang terlibat dengan rasuah yang berkaitan dengan tugas tanpa mengira pangkat dan status,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Bengkel OACP 2020 di Hotel Waterfront, di sini, kelmarin.
Karim menambah kata, bagi pengukuhan integriti dalam organisasi, pembudayaan integriti dalam warga kerja juga merupakan yang paling utama kerana ia adalah batu asas dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan pihak yang berurusan dengan kementerian.
Dalam pada itu, beliau berkata, mulai pada 23 September hingga 25 September ini, Kementerian akan menganjurkan bengkel Organization Anti-Corruption Plan (OACP) di The Waterfront Hotel sebagai usaha memberikan pendedahan kepada mereka tentang Pelan Anti-Rasuah Organisasi ini untuk tempoh 2021-2025 yang mesti dibudayakan secara menyeluruh dan konsisten.
Tambah beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memperkasa dan membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan bagi memastikan negara Malaysia akan sentiasa ditunjangi oleh ahli masyarakat madani yang memiliki integriti diri yang tinggi.
Turut hadir, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi dan tetamu lain.
Oleh Cheryl Law