
BINTANGOR: Bekalan darah yang mencukupi merupakan nadi penting sistem kesihatan awam negara, justeru penjawat awam digesa tampil membantu menerusi program derma darah.
Seruan tersebut dizahirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing semasa menghadiri Program Derma Darah anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong.
“Penjawat awam diminta tampil menderma darah bagi memastikan perawatan kepada pesakit yang memerlukan transfusi darah di hospital tidak terjejas.
“Program yang dianjurkan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) ini adalah salah satu usaha menggalakkan masyarakat khasnya penjawat awam menderma darah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada penderma darah di sini, semalam.
Koung Hiing turut menyifatkan aktiviti menderma darah sebagai satu bentuk sedekah yang sangat bernilai dan memberi impak besar kepada penerimanya.
“Inilah peluang terbaik untuk bersedekah (menderma darah) kerana ia sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan di hospital,” katanya.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara Sektor Psikologi dan Kaunseling, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan PPD Meradong dalam usaha mengekalkan kestabilan bekalan darah negara sejajar dengan keperluan semasa sistem kesihatan awam.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Sharifah Idawati Wan Ahmad dan Pengerusi AKRAB Meradong, Ting Sia Hing.
Oleh Earl Anek