SIBU: Orang ramai dijemput mengambil bahagian dalam Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma anjuran Jawatankuasa Kemajuam dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Au Yong pada Ahad ini.
Program berkenaan dijadualkan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 11.00 pagi di kawasan parkir berhampiran Kim Tak, Jalan Ruby, di sini.
Selain menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma, program itu turut membuka ruang kepada penduduk untuk menyuarakan isu kebajikan, kemudahan awam dan perkara berkaitan kepentingan komuniti setempat.
Beberapa perkhidmatan lain turut disediakan termasuk permohonan Kad Kenyalang Gold (KGC) dan bantuan kepada golongan warga emas untuk memohon kemudahan kesihatan warga emas Sarawak bernilai RM500.
Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan bagi urusan berkaitan SPay, MyDigital ID dan SMC CARES sepanjang program berkenaan.
Setiap pengunjung yang hadir turut berpeluang menerima cenderahati dan menyertai cabutan bertuah yang disediakan penganjur.
Orang ramai khususnya penduduk sekitar Jalan Ruby dialu-alukan hadir bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma selain memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan.
Majlis perasmian program akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Oleh Akun Giman





