KUCHING: Kementerian Kerja Raya menyambut baik Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, kelmarin.
Menurut Menteri Kanan Infrastruktur, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, PENJANA banyak menyediakan peruntukan untuk membantu meringankan beban kewangan syarikat kecil dan sederhana termasuk kontraktor sekali gus membantu melonjakkan semula perniagaan yang terkesan akibat dari pandemik Covid-19.
Katanya, fokus kerajaan dalam menyediakan bantuan aliran tunai menerusi pembiayaan SME Bank untuk kontraktor kelas G2 dan G3 yang dianugerahkan projek-projek kecil kerajaan akan membantu mempercepatkan pelaksanaan projek oleh kontraktor
berkenaan dan membantu dalam aliran tunai bagi kontraktor gred.
“Antara pelan lain yang akan memanfaatkan sektor pembinaan secara tidak langsung meliputi pelanjutan pakej subsidi upah, insentif kepada majikan, dan pembiayaan PKS PENJANA sehingga RM500 ribu.
“Selain itu, peruntukan RM2 bilion untuk program peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran penganggur akan memanfaatkan pekerja tempatan untuk membina kemahiran baru di dalam pelbagai bidang berkaitan pembinaan dan meneroka peluang kerjaya di dalam sektor ini,” ujarnya dalam satu kenytaan di sini, semalam.
Fadillah menambah, graduan menganggur dari bidang teknikal boleh mengambil peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di dalam penggunaan Building Information Modelling (BIM).
Jelas beliau, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) merupakan peneraju latihan di dalam bidang kemahiran pembinaan menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Malah, katanya CIDB juga menawarkan latihan serta kemudahan BIM
di Pusat MyBIM di Kuala Lumpur dan juga Satelite MyBIM di seluruh negara.
Oleh Zarina Abdullah