LIONG CHAI LING
MIRI : Rata-rata penjaja dan peniaga kecil di sini mezahirkan rasa bersyukur dengan bantuan geran khas bernilai RM1,500 yang diumumkan oleh kerajaan negeri menerusi Langkah Tambahan di bawah Bantuan khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2.0.
Kebanyakan penjaja dan peniaga kecil memberitahu sejak Perintah Kawalan Pergerakaan (PKP) dilaksanakan Mac lepas, perniagaan mereka amat terjejas dan memerlukan bantuan daripada kerajaan.
Seorang penjaja makanan kering di Tamu Khas di sini, Liza Hamzah berkata, beliau bersyukur kerana masih boleh meneruskan perniagaan di tamu walaupun waktu operasi berubah dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang ketika tempoh PKP ini.
“Syukur, masih dapat berniaga tetapi hasil jualan memang jauh beza seperti sebelum ini.
“Kalau sebelum ini boleh dapat RM300 ke atas sehari tetapi dalam situasi sekarang kadang-kadang cuma dapat RM20 sahaja,” katanya ketika ditemui di sini.
Liza berkata, dengan adanya bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri ini sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya untuk membeli keperluan asas.
Manakala, seorang lagi penjaja yang hanya mahu dikenali Umi mengakui perniagaannya terjejas sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
“Jualan perniagaan merudum teruk kerana kekurangan pelanggan. Kalau hari biasa boleh dikatakan 10 kali ganda lebih baik daripada situasi sekarang.
“Pernah sekali hanya dapat menjual barang RM2 sahaja,” katanya.
Justeru Umi yang sudah berniaga lebih 10 tahun di tamu berkenaan bersyukur dengan pengumuman bantuan untuk golongan penjaja dan peniaga kecil.
“Bersyukur kalau dapat bantuan tersebut, sekurang-kurangnya ia dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga sepanjang PKP ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam mengumumkan bantuan khas Sarawakku Sayang berjumlah RM1,500 kepada setiap peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan.
Bantuan khas tersebut akan dibayar kepada mereka yang layak melalui akaun Sarawak Pay dengan kos keseluruhan RM98.4 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 65,000 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negeri ini.