LONDON, United Kingdom: Penjaga gol Chelsea, Emiliano Martinez, berkata beliau dijangka cergas untuk kembali beraksi “dalam beberapa minggu” selepas menjalani pembedahan akibat patah rahang yang dialaminya ketika membantu pasukannya menewaskan Everton 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Pemain antarabangsa Argentina itu dibawa ke hospital selepas bertembung dengan pertahanan Everton, Jarrad Branthwaite, pada separuh masa kedua perlawanan di Stadium Hill Dickinson, semalam.
Martinez, 34, menerima rawatan di atas padang selama lapan minit sebelum diusung keluar menggunakan pengusung. Ketua jurulatih Chelsea, Xabi Alonso, kemudian berkata penjaga gol itu mengalami gegaran otak.

“Terima kasih kepada semua yang mengirimkan mesej. Pembedahan berjalan lancar,” tulis Martinez di media sosial hari ini, bersama sekeping foto dirinya di katil hospital.
“Perkara paling penting ialah kami menang dan tidak bolos. Kami akan kembali dalam beberapa minggu.”
Mike Penders dijangka mengambil alih tugas Martinez sepanjang ketiadaannya. Pemain berusia 21 tahun itu membuat penampilan sulung dalam Liga Perdana Inggeris sebagai pemain gantian ketika menentang Everton.
Beliau menyertai Chelsea daripada kelab Belgium, Genk, pada Ogos 2024 dan menghabiskan dua musim lalu secara pinjaman, termasuk bersama Strasbourg pada musim lepas. – AFP




