Bekas pencabar kini bersama GPS, Linang Chapum sokong Mohamad Duri di Kalaka

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri sempat merakamkan gambar bersama Linang Chapum sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Saratok. Foto: Edisi Kalaka

SARATOK, 29 Nov: Perbezaan politik pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) tidak menghalang Linang Chapum untuk menyatakan sokongan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Kalaka, Mohamad Duri, pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13) kali ini.

Malah, Linang yang sebelum ini pernah menjadi pencabar Mohamad Duri pada PRN 2021, tampil bersama jentera pilihan raya GPS untuk mengiringi calon berkenaan ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Pejabat Daerah Saratok, semalam.

Kehadiran beliau membawa mesej jelas bahawa sokongan terhadap kepimpinan dan perjuangan pembangunan Kalaka mengatasi perbezaan politik yang pernah wujud sebelum ini.

Linang turut menyertai kira-kira 1,550 penyokong dan jentera GPS yang berarak mengiringi Mohamad Duri ke pusat penamaan calon bagi memberikan sokongan moral kepada penyandang kerusi berkenaan.

Pada PRN13 kali ini, Linang memilih untuk tidak bertanding, sebaliknya memberikan sokongan sepenuhnya kepada Mohamad Duri yang sekali lagi diberi kepercayaan mewakili GPS mempertahankan kerusi N.38 Kalaka.

Untuk rekod, pada PRN12 tahun 2021, Mohamad Duri berjaya memenangi kerusi DUN Kalaka dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 3,893 undi.

Beliau menewaskan John Antau Linggang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 1,025 undi, manakala Linang Chapum yang ketika itu mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) mendapat 457 undi.

Kemenangan tersebut menyaksikan Mohamad Duri memperoleh majoriti 2,868 undi, sekali gus mencatatkan kemenangan kukuh dalam pertandingan berkenaan.

Perkembangan terbaharu itu memperlihatkan perubahan landskap sokongan politik di DUN Kalaka apabila bekas pencabar kini tampil bersama memberikan sokongan kepada calon yang pernah ditentangnya.

Sokongan Linang bersama kehadiran ribuan penyokong GPS pada hari penamaan calon semalam turut memperlihatkan semangat kerjasama dalam usaha memastikan kesinambungan kepimpinan dan pembangunan di kawasan DUN N.38 Kalaka.

Oleh Adi Safarman