Hujan lebat, angin kuat tumbangkan kayu sepanjang 9.1 meter di Jalan Temudok

Facebook
WhatsApp
SEBATANG kayu berukuran kira-kira 9.1 meter tumbang di Jalan Temudok, bersebelahan Pejabat PGA Sri Aman. Foto APM Sri Aman

SIMANGGANG, 29 Nov: Hujan lebat disertai angin kuat petang ini menyebabkan sebatang kayu berukuran kira-kira 9.1 meter tumbang sebelum menghalang laluan utama penduduk di Jalan Temudok, bersebelahan Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman.

Menurut Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, kejadian itu menyebabkan laluan berkenaan terhalang dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Susulan aduan orang awam, anggota APM Daerah Sri Aman digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pembersihan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Setibanya di lokasi, anggota kedua-dua agensi segera melaksanakan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan bagi mengalihkan kayu yang menghalang laluan.

Hasil tindakan pantas dan kerjasama erat kedua-dua agensi, kayu yang tumbang berjaya dipotong dan dialihkan sepenuhnya.

Laluan yang sebelum ini terhalang kini kembali bersih dan selamat digunakan oleh penduduk serta pengguna jalan raya.

APM Daerah Sri Aman menegaskan komitmennya untuk terus memberikan khidmat bantuan kepada masyarakat, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan kejadian yang boleh mengancam keselamatan orang awam.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika cuaca buruk, terutama apabila berlaku hujan lebat dan angin kencang yang berpotensi menyebabkan pokok atau dahan tumbang.

Sebarang kecemasan atau keperluan bantuan, orang ramai boleh menghubungi APM Daerah Sri Aman menerusi talian 083-320973.

Oleh Adi Safarman