CANBERRA: Suhu yang mencatatkan rekod tertinggi pada 2024 mencetuskan keadaan ekstrem dalam kitaran air global, menyumbang kepada banjir besar dan kemarau, menurut penyelidikan antarabangsa yang diterajui Australia, lapor Xinhua.
Laporan Pemantau Air Global 2024, yang diterbitkan pada Isnin oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa diketuai Albert van Dijk dari Australian National University (ANU), mendapati peningkatan suhu akibat perubahan iklim sedang mengubah cara air bergerak di seluruh dunia.
Menurut laporan itu, sebanyak 111 negara yang merangkumi kira-kira separuh populasi dunia mencatatkan tahun paling panas dalam sejarah pada 2024.
Van Dijk berkata suhu udara di daratan pada 2024 adalah 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding permulaan abad ke-21 dan 2.2C lebih tinggi berbanding permulaan Revolusi Perindustrian.
“Pada 2024, Bumi mengalami tahun paling panas dalam sejarah untuk tahun keempat berturut-turut. Sistem air di seluruh dunia terjejas teruk,” katanya dalam siaran media.
Beliau berkata cuaca global yang ekstrem pada 2024 adalah sebahagian trend memburuk yang menyaksikan banjir dan kemarau semakin teruk.
Laporan itu mendapati peningkatan suhu permukaan laut memburukkan lagi keadaan kemarau dan taufan tropika di Lembangan Amazon dan selatan Afrika dan pemanasan global juga telah menyumbang kepada hujan lebat dan ribut yang bergerak lebih perlahan.
Bencana berkaitan air mengorbankan lebih 8,700 nyawa di seluruh dunia pada 2024, menyebabkan 40 juta orang terpaksa berpindah selain mengakibatkan kerugian ekonomi melebihi AS$550 bilion, menurut laporan itu.
Laporan juga mendapati jumlah hujan bulanan tertinggi pernah dicatatkan berlaku 27 peratus lebih kerap pada 2024 berbanding permulaan abad ini.
Pada masa sama, catatan terendah baharu meningkat 38 peratus.
Pasukan penyelidik berkata data itu menunjukkan lebih banyak persediaan diperlukan untuk menghadapi keadaan ekstrem di kedua-dua belah kitaran air global, termasuk benteng banjir yang lebih kukuh serta pengeluaran makanan dan bekalan air yang lebih tahan kemarau.
“Air adalah sumber paling kritikal untuk kita dan keadaan ekstrem sama ada menyebabkan banjir mahupun kemarau adalah antara ancaman terbesar yang kita hadapi,” kata van Dijk.
Laporan tahunan itu berdasarkan pemerhatian oleh ribuan stesen bumi dan satelit yang memberikan data hampir masa nyata mengenai hujan, kelembapan tanah, aliran sungai dan banjir. — BERNAMA-XINHUA