KUCHING: “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.”
Itulah ungkapan sesuai digambarkan kepada seorang peniaga pasar malam yang memenangi Cabutan Bonanza Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional(BSN).
Peniaga ayam panggang di Pasar Malam Serian, Mohamad Hasta Karim, 42, menerima ‘durian runtuh’ bernilai RM1 juta selepas diumumkan sebagai pemenang Cabutan Bonanza SSP untuk September.
Bapa kepada tiga anak ini menyatakan bahawa, beliau sendiri, sehingga kini, masih tidak menyangka akan menjadi jutawan ke-104 BSN, hasil usahanya yang menyimpan sejak 10 tahun lalu.
“Pada mulanya saya tidak percaya akan khabar baik ini yang disampaikan oleh rakan-rakan saya, sehinggalah pegawai dari BSN sendiri yang membuat panggilan telefon kepada saya.
“Itu pun saya masih risau, takut scam(penipuan), tetapi kini barulah saya percaya,”katanya ketika ditemui pemberita pada upacara penyerahan cek di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.
Untuk makluman, beliau merupakan pemenang ke-6 dari Sarawak yang telah membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta.
Tambahnya, wang tersebut akan digunakan untuk membawa isteri dan anak-anaknya menunaikan ibadah Umrah, selain disimpan dan mengembangkan perniagaannya.
“Saya akan menggunakan wang yang saya menangi ini untuk menunaikan Umrah dan dan mengembangkan perniagaan saya dan selebihnya saya akan menyimpan untuk kegunaan masa hadapan” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihati agar golongan anak muda agar mula membuat simpanan di BSN kerana nelalui simpanan itu, mereka berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Malah, beliau sendiri tidak menyangka akan memenangi habuan RM1 juta tersebut kerana, pada awalnya, beliau hanya menyimpan untuk kegunaan sewaktu terdesak.
“Mulalah menyimpan di BSN, selain untuk masa depan anda dan untuk kegunaan untuk kecemasan, anda juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik,” ujarnya.
Untuk makluman, setakat September tahun ini, seramai 3.7 juta rakyat seluruh Malaysia mempunyai merupakan pemegang SSP BSN. Daripada jumlah tersebut, 375,182 adalah dari Sarawak.
Bagi cabutan pada November depan, cabutan akan adalah dikhaskan kepada guru dan pekerja barisan hadapan, manakala untuk Disember pula, hadiah pemenang Cabutan Bonanza ini akan ditambahkan kepada RM2 juta untuk satu pemenang.
Oleh Shahrul Qaizat