LOS ANGELES, Amerika Syarikat, 6 November: Pengurus legenda muzik country Amerika Syarikat, Dolly Parton, menarik balik saman sivil terhadap anak saudara penyanyi itu, menurut laporan media AS, selepas pertikaian tercetus berkaitan harta peninggalan mendiang penyanyi berkenaan.
Saman yang difailkan pada September oleh pengurus lama Parton, Danny Nozell, mendakwa anak saudara penyanyi itu, Bryan Seaver, cuba memeras wang daripada harta peninggalan berkenaan, yang merangkumi taman tema, hotel dan sebuah muzium yang bakal dibuka.
Seaver, yang mengumumkan kematian penyanyi itu pada usia 80 tahun menerusi video penuh emosi pada Ogos, telah bertahun-tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan Parton sebelum dipecat secara mengejut, menurut TMZ.
Dokumen mahkamah mendakwa Seaver menghantar ugutan, termasuk mesej teks yang memberi amaran bahawa beliau akan menjadi “tangan pembalasan bagi seluruh keluarga saya,” lapor The New York Times.
Seorang hakim sebelum ini mengeluarkan perintah larangan sementara terhadap Seaver sebagai sebahagian daripada prosiding berkenaan.
Bagaimanapun, saman itu ditarik balik secara sukarela di sebuah mahkamah di Nashville, menurut beberapa media AS.
Parton bangkit daripada kehidupan serba kekurangan sebelum muncul sebagai legenda muzik yang terkenal dengan penampilan berhias batu permata serta lagu popular seperti Jolene dan I Will Always Love You.
Beliau turut membintangi beberapa filem dan menyumbangkan jutaan dolar kepada badan kebajikan, selain membina empayar perniagaan besar yang merangkumi taman tema Dollywood yang popular di Tennessee, produk kosmetik, pakaian haiwan peliharaan, adunan bahan pembakar dan juga hentian rehat khas untuk lori. – AFP




