PELAKON Malaysia Nandagopall Mohan yang melakar sejarah memenangi anugerah Pelakon Baharu Terbaik pada Anugerah Golden Horse ke-63, mendedikasikan kemenangannya kepada mereka yang berasa tersisih, tertindas atau tidak didengari, dengan harapan watak yang dibawakannya itu dapat memberi inspirasi mereka untuk menerima diri seadanya.
Nandagopall yang meraih pengiktirafan itu menerusi lakonannya sebagai Ajay dalam filem Sayang Sayang, berharap kisah watak berkenaan dapat mendorong setiap orang untuk berani menyuarakan isi hati, menerima diri sendiri dan menghargai jati diri mereka.
Ketika menyampaikan ucapan penerimaan anugerah di Taipei Music Center, Taiwan, beliau merakamkan penghargaan buat keluarga, pengarah dan seluruh pasukan produksi kerana mempercayai kebolehannya serta memberinya peluang menghidupkan kisah Ajay di layar perak.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mempercayai saya dan memberi peluang untuk saya menceritakan kisah ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menyampaikan kisahnya,” katanya.

Memainkan watak remaja dengan ketidakupayaan pendengaran dan pertuturan serta amat meminati tarian menuntut Nandagopall menyampaikan emosi tanpa bergantung pada dialog. Sebaliknya, beliau menggunakan ekspresi wajah, bahasa tubuh dan gerak tari untuk menghidupkan karakter itu.
Filem arahan pengarah Taiwan Tang Hsiang-Chu itu merupakan hasil kerjasama produksi Malaysia-Taiwan yang menampilkan barisan pelakon dari kedua-dua negara, termasuk Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.
Filem itu diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co Ltd dengan kerjasama Astro Shaw.

Malaysia turut meraih beberapa lagi pengiktirafan pada anugerah berkenaan apabila Kartik Vijay memenangi anugerah Sinematografi Terbaik menerusi filem Dead Tide.
Filem itu turut memenangi anugerah Lagu Asli Filem Terbaik menerusi lagu Gone With the Tideyang yang diterima oleh Ryota Katayama, David Ke dan Hung Pei-yu.
Satu lagi pengiktirafan diraih Tsai Ming-liang yang memenangi anugerah Filem Dokumentari Pendek Terbaik menerusi Night Journey. – Bernama




