
Enam calon bersaing untuk empat jawatan Naib Presiden PBB. Foto ihsan Jiwa Bakti
KUCHING: Pemilihan untuk merebut jawatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi kuota Bumiputera diadakan hari ini.
Turut diadakan ialah pengundiaan untuk mengisi 14 jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) bagi sayap Pesaka. Seramai 19 calon bersaing.
Bagi sayap Bumiputera pula seramai 20 calon akan bertanding bagi mengisi 16 jawatan.
Pemilihan diadakan sempena perhimpunan agung PBB yang bermula dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pagi ini.
Lebih 1,500 perwakilan dari 82 cawangan akan mula mengundi petang ini. Bagaimanapun menurut aturcara rasmi, keputusan hanya akan diumumkan pagi esok.
Yang menjadi tumpuan ialah saingan untuk merebut empat jawatan Naib Presiden dengan enam calon bersaing, menyaksikan dua pencabar baharu iaitu Datuk Len Talif Salleh dan Dato Ibrahim Baki.
Empat panyandang pula akan mempertahankan jawatan itu – Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sementara itu, tiga timbalan menteri bersaing bagi jawatan MT sayap Bumiputera iaitu Datuk Ir Aidil Lariwoo, Datuk Abdullah Saidol dan Datuk Ricky@Mohammad Razi Sitam dan lapan ADUN biasa iaitu Awla Dris (Simunjan), Safiee Ahmad (Daro), Mohamad Duri (Kalaka), Abdul Yakub Arbi (Balingian), Iskandar Turkee (Jepak) dan Razaili Gapor (Beting Maro). Turut serta Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dan Senator Dato Ahmad Ibrahim.
Yang lain adalah Dato Haidar Khan Asghar, Syed Hamzah Wan Hamid Edruce, Dato Mohamad Yusnar Matalie, Sulhie Salleh, Zainulabidin @Zainal Ismail, Comat Amid, Julaihi Mohamad, Hadzman Johnny dan Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa.
Untuk sayap Pesaka, 19 calon merebut 14 jawatan MT termasuk dua Timbalan Menteri – Datuk Jefferson Jamit dan
Datuk Dr Jerip Susil serta tiga Ahli Parlimen Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo), Dato Henry Sum Agong (Lawas) dan Dato Dr Richard Rapu (Betong) selain Senator Michael Mujah Lihan. Lima ADUN turut bertanding – Dato Palu @Paulus Gumbang (Batu Danau), Dato Dennis Ngau (Telang Usan), Lidam Assan (Katibas), John Ilus (Bukit Semuja) dan Dr Simon Sinang Bada (Tebedu).
Terdahulu, jawatan Presiden PBB dimenangi tanpa bertanding oleh Abang Johari yang juga Premier Sarawak.
Turut tidak dicabar ialah dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (bagi sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili sayap Bumiputera.
Dua Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka) juga menang tanpa bertanding.
Tiga jawatan Naib Presiden bagi sayap Pesaka juga dimenangi tanpa dicabar dan terus kekal disandang oleh Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerawat Gala dan Dato Gerald Rentap Jabu.
Oleh KADIR DIKOH