BAU: Polis menyiasat dua kes berasingan melibatkan kehilangan kabel telekomunikasi milik Maxis dari menara komunikasi di Bau, semalam, dengan salah satu kes membabitkan anggaran kerugian RM6,000.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kes pertama dilaporkan selepas seorang juruteknik bersama rakannya melakukan pemeriksaan di menara komunikasi di Kampung Opar kira-kira 11.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati 12 gulung kabel kuasa RRU, masing-masing sepanjang kira-kira 80 meter, telah hilang. Kerugian dianggarkan RM6,000,” katanya.
Beliau berkata menara berkenaan milik Sacofa dan terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama serta dikelilingi kawasan hutan, manakala penempatan terdekat kira-kira 100 meter dari menara.
“Kawasan menara mempunyai pagar tetapi tidak dilengkapi kamera CCTV dan tiada pengawal keselamatan. Suspek dipercayai memasuki kawasan berkenaan melalui lubang pada pagar yang dipercayai telah dipotong,” katanya.
Mohd Haide berkata tiada saksi mata yang melihat kejadian berkenaan.
Dalam kes kedua, polis menerima laporan selepas pemeriksaan di menara komunikasi Maxis di Kampung Daun Singai kira-kira 12.30 tengah hari mendapati lima gulung kabel kuasa RRU, masing-masing sepanjang kira-kira 70 meter, telah hilang.
“Jumlah kerugian bagi kes kedua masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata menara itu terletak kira-kira 70 meter dari jalan utama dan dikelilingi hutan, manakala penempatan terdekat kira-kira 100 meter dari lokasi.
“Kawasan menara mempunyai pagar tetapi tidak dilengkapi CCTV dan tiada pengawal keselamatan. Suspek dipercayai masuk melalui pintu pagar utama yang tidak berkunci,” katanya.
Beliau berkata polis telah mengambil keterangan pengadu, menjalankan pemeriksaan di kedua-dua lokasi kejadian serta mengambil gambar dan menyediakan rajah kasar tempat kejadian.
“Nota arahan telah dikeluarkan kepada anggota detektif IPD Bau bagi mengesan dan menangkap suspek,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Oleh Connie Chieng




