BINTULU: Perkhidmatan penerbangan terus yang menghubungkan Kota Kinabalu dengan Bintulu dan Sibu akan disambung semula oleh AirAsia mulai November ini, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penduduk di kedua-dua negeri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, penerbangan terus laluan Kota Kinabalu-Bintulu akan disambung semula mulai 1 November ini, dengan tiga penerbangan seminggu.
Menurutnya, laluan Kota Kinabalu-Sibu pula akan mula beroperasi semula pada 2 November dengan empat penerbangan seminggu.
“Perkhidmatan bagi kedua-dua laluan itu akan dikendalikan menggunakan pesawat Airbus A320, manakala tiket bagi penerbangan berkenaan telah mula dijual sejak 2 September lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, penyambungan semula kedua-dua laluan itu merupakan hasil perbincangan dan penglibatan berterusan dengan pihak AirAsia bagi memperkukuh hubungan udara antara Sabah dan Sarawak, khususnya bagi penduduk Bintulu dan Sibu.
Katanya, penerbangan terus berkenaan penting bagi memenuhi keperluan perjalanan melibatkan urusan pekerjaan, pendidikan, perniagaan, pelancongan, perubatan serta kunjungan keluarga.
“Tanpa perkhidmatan terus, penumpang mungkin perlu transit di lapangan terbang lain yang menyebabkan tempoh perjalanan lebih panjang selain melibatkan kos tambahan,” katanya.
Tiong berkata, hubungan udara yang lebih kukuh antara Sabah dan Sarawak bukan sahaja memberi kemudahan kepada penumpang, malah mampu menyokong aktiviti ekonomi, pelancongan domestik serta mengeratkan hubungan antara masyarakat kedua-dua negeri.
Beliau berkata, laluan Kota Kinabalu-Bintulu dijangka memberi kemudahan lebih besar kepada penduduk, pekerja dan komuniti perniagaan di Bintulu yang terus berkembang sebagai pusat perindustrian dan ekonomi.
“Pada masa sama, laluan Kota Kinabalu-Sibu akan memberi manfaat kepada penduduk Sibu dan kawasan tengah Sarawak yang memerlukan akses perjalanan lebih mudah ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memastikan perkhidmatan penerbangan berkenaan kekal stabil, boleh dipercayai dan mampan bagi membolehkan penumpang merancang perjalanan dengan lebih yakin.
Beliau berkata, sebarang pembatalan penerbangan atau perubahan jadual pada saat akhir boleh menimbulkan kesulitan kepada penumpang selain menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan berkenaan.
Tiong turut menggesa AirAsia supaya mengekalkan tambang penerbangan pada kadar munasabah, sejajar dengan keadaan pasaran, bagi membantu mengurangkan beban kewangan penumpang.
Katanya, peningkatan pilihan penerbangan juga berpotensi meningkatkan jumlah penumpang dan mewujudkan situasi menang-menang kepada syarikat penerbangan serta pengguna.
“Penyambungan semula kedua-dua laluan ini adalah satu permulaan yang baik dan kita akan terus berhubung dengan syarikat penerbangan serta pihak berkuasa berkaitan bagi menambah baik hubungan udara Sabah-Sarawak,” katanya.
Katanya, usaha itu turut bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang serta memastikan perkhidmatan penerbangan seiring dengan keperluan rakyat dan pembangunan kedua-dua negeri.
Oleh Faizah Muzidi




