KUCHING: Podcast Borak Kenyalang terbitan Utusan Sarawak membuka tirainya menerusi episod sulung yang menampilkan sejarawan terkenal, Datu Dr. Sanib Said, sempena sambutan Hari Malaysia yang dirai esok.
Episod pertama yang dikendalikan wartawan Afiq Sallehi selaku moderator mengupas pelbagai aspek sejarah Sarawak serta pembentukan Malaysia, termasuk kepentingan 22 Julai, 31 Ogos dan 16 September dalam perjalanan sejarah negeri ini.
Antara perkara yang dibincangkan ialah perbezaan antara pemerintahan sendiri dan kemerdekaan, latar belakang pembentukan Malaysia serta faktor keselamatan, ekonomi dan geopolitik yang mempengaruhi keputusan pemimpin terdahulu.
Sanib turut berkongsi pengalaman peribadinya membesar di Lawas sebelum pembentukan Malaysia, termasuk keterbatasan peluang pendidikan ketika itu serta perubahan yang dilihatnya terhadap Sarawak dari segi pendidikan, pekerjaan dan pembangunan.
Perbincangan turut menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan sejarah, termasuk kepentingan pengkaji menyemak kesahihan fakta ketika menggunakan teknologi berkenaan sebagai alat penyelidikan.
Menerusi Borak Kenyalang, Utusan Sarawak mengetengahkan ruang perbincangan yang membawakan tokoh, pemikir dan individu dengan kepakaran dalam pelbagai bidang untuk membincangkan isu berkaitan sejarah, masyarakat dan perkembangan Sarawak.
Episod sulung Borak Kenyalang boleh ditonton menerusi platform digital rasmi Utusan Sarawak, di Facebook dan TikTok Borak Kenyalang.
Oleh Adele Rissa & Shikin Mahmud





