PETRA JAYA, 24 November: Graduan perlu mengutamakan integriti dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital ketika melangkah ke alam pekerjaan yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kepakaran dan kemahiran sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kejayaan sekiranya tidak disertai nilai integriti serta rasa tanggungjawab.
Beliau berkata, graduan perlu menggunakan ilmu secara bijaksana, memastikan ketepatan maklumat dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan, khususnya dalam persekitaran kerja yang semakin bergantung kepada teknologi.
“Saya juga ingin menekankan kepentingan integriti dalam dunia yang semakin dipengaruhi AI termasuk quantum AI dan teknologi digital.
“Saudara dan saudari mesti menggunakan ilmu dengan bijaksana, memastikan ketepatan maklumat serta menjaga amanah yang diberikan.
“Kepakaran membolehkan kita mencapai kejayaan tetapi integriti menentukan nilai sebenar kejayaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Konvokesyen ke-28 Universiti Teknologi Sarawak Tun Openg (TAHOTECH) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Abang Johari yang juga Canselor TAHOTECH turut mengingatkan graduan supaya tidak berhenti menimba ilmu selepas memperoleh kelayakan akademik kerana dunia pekerjaan sentiasa berubah dan menuntut peningkatan kemahiran secara berterusan.
“Jangan berhenti belajar selepas memperoleh ijazah. Dunia pekerjaan sentiasa berubah dan ilmu yang kita miliki hari ini perlu terus dikukuhkan,” katanya.
Menurutnya, graduan juga perlu berani menetapkan cita-cita besar, namun setiap impian perlu disertai usaha, kemahiran dan kesediaan menghadapi cabaran.
Beliau berkata, graduan yang memilih bidang keusahawanan pula perlu membina perusahaan yang mampu memberikan nilai kepada masyarakat serta membuka peluang pekerjaan.
Abang Johari turut mengingatkan graduan supaya tidak melupakan asal usul dan tanggungjawab
untuk menyumbang kepada Sarawak walau di mana sahaja mereka berada.
“Di mana saja saudara-saudari berada sama ada di Sarawak atau di luar negara jangan lupakan asal-usul dan tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada Sarawak.
“Kejayaan peribadi akan lebih bermakna apabila turut membawa manfaat kepada orang lain,” katanya.
Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 597 graduan menerima pengiktirafan selepas menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang di TAHOTECH.
Oleh Shikin Mahmud




