SIMANGGANG: Sebanyak 10 aktiviti akan dianjurkan bagi memeriahkan Karnival Belia DUN Lingga 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awnag Sohor berkata, karnival belia tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 November ini.
Beliau berkata 10 aktiviti tersebut iaitu pameran dan perkhidmatan, Belia Talk, pesta jualan belia, konsert belia dan pertandingan belia idol, pertandingan e-Sport, pertandingan bola sepak, pertandingan petanque, pertandingan dart, Aktif@Sukan Rakyat Tradisional dan senam robik.
“Karnival yang dianjurkan ini akan menjadi platform kepada belia untuk berinteraksi, bersaing dan memperluaskan jaringan sosial masing-masing. Sehubungan itu, banyak program akan diadakan sesuai objektif karnival tersebut untuk memupuk bakat para belia dalam bidang yang mereka minati,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bil. 2/2024 Karnival Belia DUN Lingga di Pejabat Daerah Sri Aman di sini, semalam.
Dayang Noorazah berkata Karnival Belia DUN Lingga 2024 yang dianjurkan adalah merupakan program yang julung kali dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN N.28 Lingga dengan kerjasama Pejabat Daerah Sri Aman dan agensi-agensi terlibat.
“Penganjuran Karnival Belia DUN Lingga ini bertujuan meraikan golongan belia di dalam dan luar Bahagian Sri Aman dengan menyediakan platform perbincangan tentang isu-isu yang melibatkan belia sambil membina rangkaian sosial yang positif kepada mereka.
“Selain itu, program ini juga menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan kecergasan dengan memberikan peluang kepada belia-belia untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang.
“Disamping itu, mampu meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan perpaduan dan kerja berpasukan dalam kalangan belia,” katanya.
Justeru, Dayang Noorazah menyeru penduduk khususnya golongan-golongan belia dari kawasan Sri Aman, Lingga, Stumbin dan yang berdekatan dijemput beramai-ramai menyertai aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.
Oleh Adi Safarman