KUCHING: Seorang penganggur didenda RM2,000 atau penjara dua bulan gara-gara menghalang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menjalankan tugas.
Tertuduh melakukan kesalahan itu sekitar 8.45 malam pada 27 Julai lalu pada raptai perarakan kapal berhias di Tebingan Kuching di pentas tetamu kehormat berhampiran Menara Square di tepi pantai.
Tertuduh Muzakie Mahidi, 41, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi atas pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, anggota polis yang bertugas pada malam itu melihat Muzakie memasuki kawasan pentas tetamu kehormat dan mengganggu para penari yang sedang berlatih.
Muzakie kemudian dibawa oleh polis dan anggota Rela ke khemah urusetia untuk tujuan dokumentasi namun setibanya di khemah, tertuduh cuba melarikan diri dengan meronta-ronta dan menghayunkan tangan kanannya ke muka seorang anggota polis.
Anggota polis dan RELA Berjaya menangani situasi itu dan membawa tertuduh ke Balai Polis Pusat untuk tindakan lanjut.
Dimaklumkan tertuduh dalam keadaan mabuk ketika kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Insp Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala Muzakie tidak diwakili peguam.
Oleh Nickelyson Lakun